Sabtu, 19 Januari 2013

Kejohanan Sukan Special Olympics 2013


Kejohanan Sukan Special Olympics peringkat negeri Kelantan telah diadakan pada 15, 16 dan 17 Januari 2013 yang lalu di Kompleks Sukan Panji, Kota Bharu. Ianya disertai oleh seluruh PDK Negeri Kelantan. Kejohanan ini dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan OKU Negeri Kelantan yang diketuai oleh Penolong Pengarah Kanan iaitu Ybrs. Puan Rosyayati Omar. 
 
Kejohanan Sukan Special Olympics 2013 dirasmikan dengan sempurnanya oleh Pengarah JKM Negeri Kelantan, Yabrs. En Md Noor Bin Chik dan Majlis Penutup pula dilakukan oleh Timbalan Pengarah JKM Kelantan, Ybrs. En Norazaman Ab. Manaf.


 
Semua peserta termasuk Atlet, Jurulatih, Sukarelawan dan Pengerusi serta AJK berkampung selama tiga hari di sebuah hotel terkemuka di tepi sungai Kelantan.

Antara acara-acara yang diadakan ialah acara 100 meter, 200 meter 4x100 meter, lontar peluru, lompat berdiri, lompat jauh, boccee, bowling dan bola 5 sebelah. Sebanyak 27 pingat emas dipertandingkan.
 
Kejohanan sukan  ini dimenangi oleh PDK Jajahan Pasir Puteh yang mengungguli 9 pingat emas, 2 perak, tempat kedua Pasir Mas dengan pungutan sebanyak 4 pingat emas dan 5 gangsa. Manakala PDK Jajahan Machang tempat ketiga dengan 3 pingat emas, 6 perak dan 3 gangsa.
 
Turut hadir sepanjang kejohanan ini ialah Yang Dipertua Majlis Pengerusi-Pengerusi PDK Kelantan iaitu Mejar Jeneral Dato' Paduka Ghazali Ibrahim (B). Beliau juga mengarahkan acara Majlis Perasmian dengan jayanya.

Kontijen PDK-PDK Jajahan Machang diketuai oleh Penyelaras PDK Jajahan Machang iaitu Pn. Sharifah Yusoff dan disertai seramai 15 orang atlet, 5 sukarelawan dan 3 jurulatih.

Pemenang-pemenang dalam kejohanan ini akan mewakili Kelantan ke Kejohanan Sukan Special Olympics peringkat Kebangsaan yang dijangka akan diadakan pada bulan Mac ini di Kuantan, Pahang.