Selasa, 27 Januari 2009

Program Gotong-royong


Pada 26 Januari 2009 yang lalu PDK Insani mengadakan Program gotong royong membersihkan kawasan untuk projek Ternakan Ikan Keli Dalam Kanvas. Program ini melibatkan petugas PDK, ahli jawatankuasa, ibubapa dan staf JKM Machang sahaja. Tarikh ini sepatutnya bubur asyura diadakan tetapi disebabkan beberapa masalah teknikal, program ini tidak dapat dilaksanakan dan sebagai gantinya (serta kebetulan pula) program gotong-royong diadakan.


Sebelum program bermula, pada pukul 12 tengahari petugas dan ibubapa menyediakan makanan. Pukul 2 petang, kerja-kerja membersihkan kawasan dimulakan.














Walaupun tidak ramai yang hadir tetapi mereka yang datang bergading bahu membersihkan kawasan dengan bersemangat sekali. Tiga orang staf JKM Machang terutama lelaki turut sama bermandi peluh bersama AJK dan ibubapa serta petugas.
Kawasan yang dibersihkan ini akan dijadikan tapak ternakan ikan keli dalam kanvas yang mana projek ini akan dikendalikan oleh pelajar-pelajar yang terpilih dengan diselia oleh petugas-petugas PDK Insani serta dipantau oleh Jawatankuasa. Apa yang diharapkan pelajar-pelajar PDK dapat berdikari dan menjana sumber pendapatan.













Selepas penat menjalankan kerja masing-masing, pada penghujung program sedikit jamuan ringan disediakan untuk para 'sukarelawan' .


Keseluruhannya program gotong-royong ini berjaya tetapi terkilannya tidak ramai yang hadir walaupun dijemput dengan surat. (Agaknya konsep gotong-royong zaman siber ini semakin hilang semangatnya... )

Cuma apa yang diharapkan, marilah kita sama-sama berdoa agar projek ini berjaya untuk dikendalikan oleh anak-anak istimewa kita...pelajar PDK Insani....

Sabtu, 24 Januari 2009

Satu PDK Satu Produk


Syor oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya setiap PDK menghasilkan satu produk turut dirancang oleh PDK Insani. Dalam satu mesyuarat Jawatankuasa, telah sepakat bersetuju PDK Insani menternak Ikan Keli Dalam Kanvas sebagai projek Satu PDK Satu Produk.

Untuk tujuan itu, Setiausaha PDK Insani Yang baru (Pemangku), En. Hamzah Mamat telah dilantik untuk menerajui projek ini di samping Penyelia dan Petugas untuk membimbing dan melatih pelajar-pelajar PDK dalam bidang ternakan Ikan Keli.

Sehubungan dengan itu, pada 24 Januari 2009, dua buah kanvas lengkap dengan perlatannya telah ditempah. Mengikut kata pengedarnya, peralatan itu akan dipasang tidak lama lagi. Mungkin selepas Tahun Baru Cina.

Kami mengharapkan kerjasama dari semua pihak untuk kejayaan projek ini. Kejayaan projek ini adalah kejayaan pelajar-pelajar PDK keseluruhannya.

PDK Insani merancang untuk majlis pelancarannya pada Hari Mesyuarat Agung PDK yang akan diadakan tidak lama lagi.

Ahad, 18 Januari 2009

Apa Itu PDK?




PDK adalah ringkasan dari perkataan: Pusat Pemulihan Dalam Komuniti. PDK adalah satu program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk program pemulihan untuk anak-anak istimewa seperti down sindrom, celeberal Palsy, lembab pembelajaran, masalah akal dan sebagainya.
Definisi PDK:- Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) adalah satu kaedah pembangunan komuniti untuk Orang Kurang Upaya (OKU) di mana program pencegahan, pemulihan dan pembangunan boleh dilaksanakan dengan penglibatan aktif keluarga dan masyarakat setempat supaya dapat mengecapi peluang sama rata serta diintegrasikan dalam masyarakat. Ianya ditubuhkan atas inisiatif penduduk setempat dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Objektif PDK:-
1. Meningkatkan dan mengembangkan kualiti hidup OKU
2. Memberi perkhidmatan pemulihan dan intervensi awal OKU di peringkat komuniti tempatan
3. Bagi memastikan penyertaan sepenuhnya OKU dari segi integrasi sosial dalam keluarga dan masyarakat setempat
4. Memberi peluang kepada OKU membangunkan kebolehan dan kemahiran mengikut potensi yang ada dalam dalam diri mereka.
5. Supaya masyarakat turut serta membantu dan peka terhadap keperluan, kehendak dan hak OKU sebagaimana insan yang lain.
6. Secara tidak langsung, PDK adalah
ONE STOP CENTRE di mana menjadi tempat rujukan hala tuju JKM

Satu jawatankuasa sukarela yang terdiri dari komuniti setempat ditubuhkan untuk tujuan ini. Pegawai JKM Jajahan (PKMJ) akan menjadi Penasihat ke atas Jawatankuasa. Jawatankuasa ini bertanggungjawab ke atas PDK dan Petugasnya. Petugas dibayar elaun sebanyak RM800 dan Penyelia RM1200. Semua kanak-kanak yang mengkuti pemulihan di PDK dibayar elaun sebanyak RM150 seorang.

Semua pembayaran elaun ini dibayar menerusi Jawatankuasa PDK yang mana geran mengurus PDK diberi oleh Kementerian Pembangunan wanita, Keluarga dan Masayarakat setiap tahun mengikut kelayakan.

Program pemulihan di PDK meliputi:-
 PENGURUSAN DIRI(ADL)
 KEMAHIRAN MOTOR HALUS
 KEMAHIRAN MOTOR KASAR
 PENJAGAAN KESIHATAN
 PERKEMBANGAN BAHASA
 PRA – MENULIS
 KEMAHIRAN VOKASIONAL
 PERKEMBANGAN SOSIAL
 BERIADAH

Sebenarnya semua kategori kecacatan boleh menyertai program pemulihan di PDK tetapi kebiasaannya mereka yang cacat fizikal, cacat penglihatan dan cacat pendengaran ada sekolah khas untuk mereka. Oleh yang demikian, PDK lebih ditumpukan kepada mereka yang mempunyai masalah akal.

Tiada had umur untuk belajar di PDK. Namun begitu PDK Insani menerima pelajar yang berumur 3 tahun ke atas sahaja untuk belajar di PDK.

Demikian secara ringkas apa itu PDK.

Khamis, 15 Januari 2009

Lawatan Ke Langkawi


Seronoknya!!!

Kesinambungan dari kejayaan menggondol tempat pertama dalam Kategori Kreativiti Berkumpulan dan tempat kedua Kategori Kreativiti Individu ketika Pertandingan Kebudayaan Dan Kesenian PDK Negeri Kelantan 2008, semua peserta dan petugas dibawa melawat Pulau Langkawi pada 29 Disember yang lalu.

Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu cukup menggembirakan pelajar-pelajar PDK. Pengalaman pertama naik bas dalam perjalanan jauh dan naik feri sangat bermakna buat mereka.

Gabungan 4 buah PDK Jajahan Machang pada tarikh itu sangat beruntung kerana dapat menggunakan bas JKM Negeri Kelantan yang kebetulannya tidak ada apa-apa urusan sepanjang tempoh program Lawatan tersebut.

Dua hari di Langkawi padat dengan aktiviti dan lawatan. Di bawah ada aturcara program yang diatur dan beberapa keping foto ketika di sana.....

29/12/2008 (Isnin)
9.00 pagi : Berkumpul di perkarangan pejabat JKM Machang
9.30 pagi : Bertolak dengan Bas JKM Negeri Kelantan.
1.00 Tgh : Makan Tengahari
6.30 petang : Sampai di Kuala Perlis
7.00 malam : Makan Malam
8.00 malam : Bermalam di Homestay Saloma


30/12/2008 (Selasa)
8.30 pagi : Sarapan pagi
10.00 pagi : Naik feri di Jeti Kuala Perlis bertolak ke Pulau Langkawi
12.00 tgh hari : Sampai di jeti Pekan Kuah, Pulau Langkawi
1.00 petang : Check in di D’ Teratak Motel, Pekan Kuah
2.00 petang : Makan Tengah hari / Acara bebas.
8.00 malam : Makan Malam

31/12/2008( Rabu)
8.00 pagi : Sarapan pagi
9.00 pagi : Sesi Lawatan ke Pulau Langkawi
Antara tempat yang dilawati:-

1. Sireh Maju Lagenda (Kilang Gamat)
2. Kota Mahsuri (Makam Mahsuri)
3. Under Water World
4. Makan tengah hari
5. Beras Terbakar, Padang Matsirat
6. Cable Car
7. Pantai Pasir Hitam
8. Galeri Perdana
9. Kolam Air Hangat
10. Idaman Suri
11. Dataran Lang

7.00 malam : Pulang ke tempat penginapan
8.00 malam : Makan malam


1/1/2009 (Khamis)
7.30 pagi : Sarapan pagi
8.30 pagi : Bertolak ke jeti Pekan Kuah.
10.00 pagi : Naik feri ke Kuala Perlis.
1.00 petang : Naik bas ke PDK Kuala Ketil
2.00 petang : Makan Tengah hari
4.30 petang : Sampai di PDK Kuala Ketil / Sesi lawatan sambil belajar.
5.30 petang : Bertolak pulang ke Kelantan
11.00 Malam : Sampai Di Pejabat JKM Machang / Bersurai.

Saksikan gambar-gambar sekitar lawatan kami......


Rabu, 17 Disember 2008

Pertandingan Kebudayaan dan Kesenian PDK 08

Lega. Itulah yang boleh dikatakan oleh kami semua warga PDK jajahan Machang. Ini kerana pertandingan telah selesai dan debaran kembali reda. Paling menggembirakan, taruhan utama kami PDK-PDK Jajahan Machang iaitu dramatari Ulit Mayang Versi PDK mendapat tempat pertama dalam kategori Kreativiti Bebas Berkumpulan. Mengalahkan 8 kumpulan lain. Kami juga berbangga dengan kejayaan kategori solo 'miming' Zainuddin Hamid yang berjaya mendapat tempat kedua. Walau bagaimanapun, taruhan kami terhadap peserta solo kategori Nyanyian Solo oleh Ahmad Farizal tidak kecapaian apabila beliau gagal dalam pertandingan itu. Namun begitu kejayaan Ulit Mayang dan kreativiti solo cukup mengubati segala kekecewaan. Sungguh terharu dan bangga saat pengacara mengumumkan kejayaan PDK-PDK Jajahan Machang dalam kategori Kreativiti Bebas Berkumpulan. Hampir semua Petugas PDK dan peserta menitiskan air mata kerana terlalu gembira. Tambahan pula pengumuman dibuat di hadapan Pengarah JKM Negeri Kelantan En. Md Noor Chik yang hadir mewakili Dato' Meme (Ketua Pengarah JKM Malaysia)untuk menyampaikan hadiah. Pemenang mendapat hadiah wang tunai, sijil dan cenderahati. Nampaknya hasil penat lelah dan daya usaha semua Petugas PDK dengan sokongan PKMJ serta Penyelaras PDK Jajahan Machang, akhirnya membuahkan hasil. Kesempatan ini diambil untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam program ini. Berbaloi sungguh....!! Implikasi program ini....kami semua warga PDK-PDK jajahan Machang dah jadi macam adik-beradik kerana program ini. Ini berikutan kami tinggal bersama di sebuah rumah tamu di Jalan Bayam berhampiran Bengkel OKU yang kami sewa khas untuk penginapan semasa program berlangsung dua hari. Susah senang pakat galas... Dan sebagai hadiah istimewa di atas kejayaan ini, semua peserta dan petugas yang terlibat akan di bawa bercuti sambil melawat Pulau Lagenda -Langkawi.... Tunggu!! Sementara itu, saksikan beberapa keping foto semasa program tersebut.... Demikian kisahnya... [][][][]

Selasa, 9 Disember 2008

Sekitar Latihan Kebudayaan & Kesenian 08.

Latihan akhir program kebudayaan PDK semakin kerap diadakan untuk menjadikan persembahan lebih mantap dan bermutu. Memang sukar untuk melatih anak-anak istimewa tetapi itu bukan menjadi masalah besar kepada Petugas-petugas PDK Jajahan Machang. Di bawah perancangan Ketua Urusetia Persembahan (En. Mohd Razali MD Din) dan Ketua Latihan (Pn. Zuriati Ruhaida)latihan dijalankan dengan jayanya walaupun berdepan dengan musim banjir sekarang ini.