Khamis, 10 Februari 2011

PROGRAM PROMOSI SUBSIDI UJIAN MAMOGRAM

Pada 9hb. Februari 2011 yang lalu, Lembaga Penduduk dan Kemajuan Keluarga Negeri Kelantan telah menganjurkan Program Promosi Subsidi Ujian Mamogram di PDK Temangan. Program kesihatan itu diadakan di Tabika Pepaduan Sri Pauh. Ianya diadakan untuk ibu-ibu pelatih PDK Temangan. Turut serta penduduk setempat.

Program ini bertujuan untuk menerangkan bahaya kanser payu dara dan keperluan membuat pemeriksaan awal pencegahan. Mana-mana yang layak iaitu wanita berumur 40 tahun ke atas ditawarkan subsidi RM50 untuk membuat pemeriksaan di mana-mana klinik swasta.

Jabatan Kebajikan Masyarakat Jajahan Machang turut membuka gerai untuk program pendaftaran OKU.









Ahad, 6 Februari 2011

Penstrukturan Semula Program Pemulihan PDK

Satu Siri Penerangan dan Bengkel Pengstrukturan Semula Program Pemulihan PDK telah diadakan di PDK Insani baru-baru ini pada 2hb. Feb 2011. Ianya dihadiri ol.eh Jawatankuasa PDK Insani dan Jawatankuasa PDK Temangan serta Penyelaras PDK Jajahan Machang, En. Aman Md Bakri. Bengkel ini bertujuan mencari satu kaedah terbaik untuk memenuhi program pemulihan di kedua PDK tersebut tanpa mengabaikan garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kedua-dua PDK bersetuju untuk menggunapakai kaedah pemulihan yang dipersetujui dalam pertemuan itu di mana laporan terperinci akan dikemukakan kepada PKMJ Machang selepas tiga bulan perlaksanaannya.

Penyelia PDK Insani, Raja Norshamlina Raja Bakar dan Penyelia PDK Temangan, Tengku Nor Hidayu Raja Salleh telah menggendalikan bengkel dengan dibantu oleh Pengerusi kedua PDK.

Peratusan bagi program akademik hanya 30% dan selebihnya adalah lebih kepada program pemulihan vokasional dan lain-lain. Kedua jawatankuasa juga bersetuju beberapa orang pelatih yang dipilij akan menghadiri PDK pada sesi petang iaiatu jam 12 - 4 petang.

Draf bengkel pengstrukturan semula program PDK sedang dikemaskinikan oleh kedua Penyelia untuk kegunaan kedua-dua PDK bermula 6hb Feb 2011.













Sila klik halaman sebelah untuk maklumat lanjut berkenaan pengstrukturan ini.

Jumaat, 21 Januari 2011

Seminar Pemantapan Tanggungjawab...

Jawatankuasa PDK Insani dan PDK Temangan secara bersama telah menganjurkan Seminar Pemantapan Tanggungjawab Penyelia dan Petugas PDK Dalam Program Pemulihan OKU bertempat di Hutan Lipur Bukit Bakar, Machang pada 20hb. Januari 2011. Program ini juga mendapat kerjasama Pejabat Kebajikan Machang. Seminar sehari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Seminar ini disertai oleh 70 orang peserta yang terdiri daripada Penyelia dan Petugas dari beberapa buah PDK di Kelantan. Antara penceramah yang dijemput ialah En. Asri Dolah, Jurupulih Perubatan Cara Kerja dari HUSM, Pn. Hjh. Nor A'sikin Hamzah, Penyelaras PDK Negeri Kelantan dan penceramah bebas Ustazah Normaheran Abd. Rahman dari SMK Seri Intan, Machang.
Seminar ini dihadiri Tuan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan, En. Md Noor Chik yang merasmikan Masjlis Perasmian Penutup serta menyampaikan sijil kursus kepada peserta. Turut hadir Pn. Ratna Mahsuri Mohd Nor mewakili PKMJ Machang.

Seminar ini bertujuan untuk memantapkan tugas dan tanggungjawab Penyelia dan Petugas PDK sebagai pemulih OKU di PDK. Selain itu seminar ini juga bertujuan mengemaskini ciri-ciri seorang pekerja sosial di PDK dan mendedahkan cara-cara memulih OKU dari pelbagai kategori kecacatan.
Untuk pertama kali Jawatankuasa PDK Insani dan PDK Temangan mengadakan program menggunakan tenaga ahli jawatankuasa sepenuhnya tanpa melibatkan Penyelia dan Petugas. Penyelia dan Petugas kedua PDK turut menjadi peserta dalam seminar ini. Untuk pertama kalinya juga Pelatih PDK turut diambil menjadi urusetia program bagi menguruskan program untuk Penyelia dan Petugas mereka.

















Khamis, 13 Januari 2011

Pembaharuan di PDK Insani 2011

PDK Insani menerima 4 orang pelatih baru pada tahun 2011 ini. Pertambahan ini menjadikan jumlah pelatih hadir ke PDK berjumlah 28 orang.
Suasana agak meriah sedikit dengan pelbagai telatah mereka. Pelatih di rumah masih kekal 6 orang. Jumlah pelatih yang berdaftar dengan PDK Insani setakat ini berjumlah 34 orang setelah tiga orang berpindah ke Sekolah Pendidikan Khas pada tahun lepas.

Tahun ini juga beberapa struktur program pemulihan diubahsuai bagi memantapkan lagi keberkesanannya. Pengerusi PDK Insani bersama Penyelia dan Petugas berbincang dan merumuskan beberapa perkara untuk dipraktikkan bermula pada 1.2.2011 ini.

Antara perubahan terbaru ialah mengadakan kumpulan Latihan Vokasional untuk pelatih yang terpilih dan sesi petang untuk Pelatih yang boleh berdikari menjalankan projek menjana pendapatan. Penyelia dan Petugas selepas ini akan menumpukan sepenuh perhatian kepada pelatih yang diletakkan dalam lima kumpulan. Hanya satu kumpulan akademik yang akan diadakan iaitu untuk pelatih yang boleh menulis dan membaca. Kumpulan lain akan menumpukan kepada program pemulihan urus diri dan vokasional serta berdikari.



Antara pelatih PDK yang hadir pada 13.1.2011.

Rabu, 5 Januari 2011

MAKLUMAN

Mulai tahun 2011, blog PDK Insani akan memuatkan juga berita-berita dan maklumat dari PDK Temangan. Ini sebagai mempelbagaikan berita dan atas semangat kejiranan kerana PDK Insani dan PDK Temangan tinggal berdekatan dan mempunyai hubungan yang baik antara Jawatankuasa dan Pekerja.

Lawatan & Sumbangan ke PDK Temangan

Pada 5hb. Januari 2011, sekumpulan warga PDK Selayang seramai 12 orang telah datang melawat PDK Temangan (di premis sementara) sebagai tanda simpati di atas bencana kebakaran yang menimpa tahun lalu. Antara yang hadir Naib Pengerusi, En Yusof, Penyelia Pn. Noraini Othman dan wakil JKM Gombak serta petugas-petugas.

Pada lawatan itu juga PDK Selayang menyampaikan sumbangan untuk membantu PDK Temangan. Dalam ucapan En. Yusof, beliau menyatakan hasrat yang telah lama terpendam untuk datang menghulurkan bantuan sekadar yang mampu. Oleh kerana itulah, walaupun dalam keadaan musim tengkujuh, beliau dan rombongannya tetap datang.

Pengerusi PDK Temangan, En Zulkefeli Rani, Setiausaha, Bendahari, Jawatankuasa, Penyelia dan Petugas PDK Temangan menyambut kedatangan mereka dengan rasa berbesar hati.

Para tetamu kemudiannya dihidangkan dengan sedikit jamuan laksa. Warga PDK Temangan mengucapkan berbanyak terima kasih di atas kehadiran dan sumbangan yang diberi. Sumbangan akan digunakan untuk membeli peralatan dan keperluan di PDK.