Selasa, 10 Mei 2011

Kem Bina Jati Diri & Explorace PDK Kelantan

Program yang berbentuk aktiviti lasak yang menyeronokkan ini telah menggabungkan tiga konsep utama iaitu, Aktiviti, Kerohanian, Keseronokan dan Pemulihan (AKP) bagi memberi impak yang mengesankan. Untuk julung kali program seumpama ini diadakan bagi memberi satu inovasi secara langsung dalam program melibatkan pelatih PDK dan sebagai cabaran kepada Petugasnya. Untuk kali pertama juga, kita lupakan seketika bahawa pelatih PDK adalah individu OKU.

i) Tujuan program ini untuk menyuburkan sikap berdikari yang sedia ada dalam diri pelatih menjadi lebih berkembang dan ikhtiar hidup.

ii) Memberi peluang kepada pelatih mengembangkan bakat dan kreativiti semulajadi atau yang digilap semasa di PDK secara lebih terserlah.

iii) Membentuk diri pelatih supaya lebih berketrampilan dan berkeyakinan.

iv) Menjadikan pelatih lebih berdikari, berani dan berupaya menempuh segala cabaran.

v) Mewujudkan semangat berkumpulan, kerjasama dan bantu membantu.

vi) Membebaskan pelatih dari sebarang kongkongan atau idea orang lain.

Program ini adalah anjuran Bahagian Pembangunan OKU Negeri Kelantan mendapat kerjasama yang penuh dari Persatuan Insani di mana Setiausaha Persatuan Insani iaitu Mohd Razali Md Din adalah Pengerusi PDK Insani. Beliau dan Pengerusi Persatuan Insani (Wan Kamarulzaman) antara nadi penggerak program ini di samping urusetia dari JKM sendiri terutama Pn. Hjh Nora'sikin, En. Abdul Rahim, Mohd Nasrun, Zuraida, Misbah dan lain-lainnya.

Program ini berlangsung dua hari iaitu bermula jam 8 pagi 8hb hingga 5 petang 9hb Mei 2011. Program ini diakhiri dengan Majlis Perasmian Penutup bersama Majlis Penyampaian Bantuan JKM peringkat Jajahan Tumpat yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kelaboran.






Secara ringkasnya Kem Bina Jati Diri dan Explorace ini dijalankan dengan memilih setiap PDK menghantar dua pelatih iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan serta seorang penyelia atau petugas. Jumlah pelatih seramai 66 orang dan petugas 33 orang. 11 orang petugas menjadi urusetia dan 22 orang bersama 66 orang pelatih menjadi peserta dan dibahagi kepada 11 kumpulan secara undian. Kumpulan-kumpulan ini mendirikan khemah masing-masing dan menjalankan aktiviti mengikut jadual yang ditetapkan.

Program ini dijalankan secara pertandingan untuk memberi konsep persaingan dan cabaran kepada mereka. Ternyata program ini amat menyeronokkan dan memberi kesan yang mendalam kepada pelatih mahupun petugas sendiri. Antara pengisian ialah, penyediaan makanan secara memasak menggunakan kayu api, pembinaan jati diri menerusi program berinteraksi dengan pelatih, membiarkan pelatih membuat keputusan, explorace dan diselitkan juga acara sukaneka dan persembahan spontan pelatih dan petugas menerusi acara cabutan tak bertuah.

Siapa menang tidak penting kerana yang lebih penting program ini dapat menanam dan membina jati diri kepada pelatih dan petugas serta menyemarakkan lagi sikap berdikari kepada pelatih PDK. Seperkara lagi yang tidak kurang pentingnya, kem ini dapat menyatukan semua PDK-PDK di Kelantan dalam satu program peringkat negeri.

Rabu, 27 April 2011

Program Bermalam Di PDK - Penerapan Advokasi

Program Bermalam di PDK adalah program di mana semua pelatih bermalam di PDK bersama Penyelia dan Petugas. Program ini juga adalah suatu penerapan 'advokasi' ke dalam diri pelatih. Oleh yang demikian, bagi membincangkan kertas kerja, pengisian program dan mesyuarat serta perlaksanaannya, maka empat orang pelatih PDK telah dilibatkan secara langsung.

Objektif program ini antaranya:

i) Untuk memberi peluang kepada pelatih membuat keputusan sendiri (advokasi) dalam urusan rumahtangga dan kehidupan seharian.

ii) Untuk memberi peluang kepada Penyelia dan Petugas mendampingi pelatih dengan lebih lama supaya dapat berinteraksi dan membuat program pemulihan yang lain dari biasa.

iii) Untuk menilai sikap berdikari pelatih PDK tanpa keluarga.


Program bermula jam 7.30 Pagi (Selasa – 26 – 4 – 2011) dan berakhir jam 4.00 Petang (Rabu– 27 – 4 – 2011)

BERIKUT ADALAH ATURCARA PROGRAM BERMALAM DI PDK

26hb. April 2011

- 07.30 Pagi – Program bermula. Semua pelatih dihantar oleh keluarga

masing-masing.

- 08.00 Pagi – Persediaan minum pagi

- 10.00 Pagi – 4 orang Pelatih terpilih pergi membeli lauk pauk di kedai

Adilah ditemani Petugas (Pelatih memilih sendiri lauk pauk

yang hendak di makan)

- Pelatih lain menjalankan aktiviti membersihkan kawasan

PDK dan bertani

- 11.00 Tgh – pelatih petugas menyediakan makanan tengahari.

- 12.30 Tgh – Makan / aktiviti bebas.

- 01.00 Petang – Pelatih lelaki ke masjid untuk solat Zohor.

- 02.00 Petang – Acara bebas di kendalikan oleh pelajar KIST yang membuat praktikal

di JKM Machang.

- 04.00 Petang – Pelatih lelaki solat Asar di Masjid, Pelatih perempuan menyediakan kueh

minum petang

- 05.00 petang – Minum petang

- 05.30 petang – Pelatih pergi membeli belah makanan ringan di kedai runcit berhampiran

- 07.00 Malam – Mandi, solat berjemaah di PDK, Solat Hajat dan baca Yasin

- 08.45 Malam – Makan malam.

- 09.30 Malam – Menonton TV / Bakar Jagung / ayam BBQ.

- 10.30 malam – Tidur / rehat.

27hb. April 2011

- 05.45 Pagi – Mandi dan solat subuh berjemaah.

- 07.00 Pagi – Senaman / jogging.

- 07.30 Pagi – Sarapan pagi.

- 08.00 Pagi – 6 orang pelatih diiringi 2 petugas ke Pasar Borong Wakaf Bata untuk membeli lauk pilihan pelatih sendiri.

- 09.30 pagi – Pelatih membersihkan kawasan madrasah.

- 11.00 pagi – Kumpulan pelatih perempuan memasak makanan tengahari

- 12.30 Tgh – Makan tengahari

- 01.15 petang – Pelatih lelaki pergi solat Zohor di masjid

- 02.00 petang – Ramah mesra semua peserta

- 03.00 petang – Pelatih mengemas barang-barang

- 03.30 petang – minum petang

- 04.00 petang – semua pelatih pulang ke rumah masing-masing.




















Khamis, 14 April 2011

Ikhtiar Menambah Tabung Produk PDK Insani

Sebagai usaha untuk menambahkan tabung produk PDK Insani, para petugasnya dengan kerjasama AJK serta pelatih PDK yang terlibat telah menyertai karnival jualan (Pasaria) di Sek. Kebangsaan Kampung Pek, Machang, Kelantan. Pelbagai produk hasil tangan pelatih PDK dan petugas dijual pada karnival tersebut yang diadakan pada 9hb April 2011.

Jualan bermula jam 8 pagi dan berakhir 11 malam dapat memungut hasil yang agak memuaskan walaupun tidak mencapai sasaran yang sepatutnya. Walau bagaimanapun, usaha PDK Insani berniaga amatlah disokong oleh Jawatankuasa asalkan tidak mengganggu tugas mereka di PDK.

Pada jualan ini juga, PDK Insani telah memperkenalkan satu produk baru iaitu Kerepok Ikan Keli.

(Harap maaf, tarikh pada foto adalah kesilapan teknikal - tarik sebenar ialah 9.4.2011)







Sabtu, 2 April 2011

Menyertai Program Kesihatan HUSM

2 April 2011, PDK Insani telah dijemput untuk menyertai Pameran Produk PDK bersama PDK Guchil, Kuala Krai sempena Program Kem Kesihatan MSO-HNS, Jabatan ORL-HNS HUSM 2011 bertempat di Pejabat Operasi Kesedar, Mengkebang, Kuala Krai, Kelantan. Program ini disempurnakan oleh KDYMM Tuanku Sultan Muhammad ke-V.
Sebanyak 5 jenis produk dibawa oleh PDK Insani untuk memeriahkan pameran oleh JKM Negeri Kelantan. Orang ramai yang berkunjung ke Gerai JKM telah menambat hati untuk membeli barangan pameran. Jualan produk agak memberangsangkan.