Ahad, 20 Jun 2010

Program Anak Angkat


Program Anak Angkat adalah aktiviti baru yang cuba diperkenalkan oleh PDK Insani bagi meluaskan skop pemulihan untuk pelatih. Untuk pemulaan, Penyelia dan Petugas serta dua orang AJK dan seorang IbuBapa menjadi keluarga angkat kepada pelatih untuk selama 2 hari satu malam iaitu 16hb - 17hb Jun 2010 ( Rabu dan Khamis)

Majlis Penyerahan Anak Angkat diadakan pada jam 11 pagi oleh PKMJ Machang. turut hadir Penyelaras PDK jajahan, Cik Norul Asliza Noruldin dan Pembantu Pegawai JKM bahagian OKU, Cik Siti Alwani Junuh.

OBJEKTIF PROGRAM ANAK ANGKAT.

i) Untuk melatih OKU di PDK menyesuaikan diri dengan kehidupan keluarga baru / keluarga angkat.

ii) Sebagai satu praktikal pemulihan secara lebih realistik.

iii) Untuk menilai tahap sikap berdikari pelatih PDK.

iv) Memberi peluang kepada Petugas melihat kekurangan dan perkara tersembunyi yang ada pada pelatih.

v) Untuk melatih pelatih hidup tanpa keluarga sebenar..


Untuk kali pertama juga tidak ada sebarang kos yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa PDK. Majlis Penyerahan Anak Angkat dan kos tanggungan pelatih di rumah keluarga angkat ditaja sepenuhnya oleh Penyelia dan Petugas PDK Insani dan sedikit sumbangan dari Persatuan Insan Istimewa Kelantan.

PERJALANAN PROGRAM.

Program anak angkat dijalankan sebagaimana berikut:

- Pelatih datang ke PDK pada 16. 6. 2010 seperti biasa tetapi membawa pakaian hariannya untuk selama dua hari.

- Jam 11 Pagi - Majlis Penyerahan anak angkat kepada keluarga angkat yang dilakukan oleh PKMJ - Tuan Noor Rosniza Tuan Puteh.

- Keluarga angkat membawa pulang anak angkat dan memberi peluang anak angkat menjalani kehidupan seperti kebiasaan keluarga angkat.

- 9.00 Malam – Beberapa orang AJK memantau anak angkat di rumah keluarga angkat masing-masing.

- Pada 17. 6. 2010 pelatih menjalani kehidupan sepenuhnya di rumah keluarga angkat.

- Jam 5.00 Petang – Semua pelatih dan keluarga angkat berkumpul di PDK untuk menyerahkan semula anak angkat kepada keluarga masing-masing.

Program ini akan ada kesinambungannya dengan sedikit penambaikkan.

(Foto - sila lihat di halaman)

Jumaat, 28 Mei 2010

Kejohanan Special Olympics PDK Kelantan

PDK Jajahan Machang telah menyertai Kejohanan Special Olympic peringkat negeri Kelantan pada 27hb. Mei baru-baru ini. Sebanyak 10 PKMJ menyertai kejohanan ini. Setiap jajahan disyaratkan menghantar 16 orang peserta yang terdiri dari pelatih PDK (8 lelaki dan 8 perempuan).

Kejohanan ini diadakan di Padang Institut Perguruan Kota Bharu yang bermula 8 pagi dan berakhir 6.30 petang. Perasmian disempurnakan oleh Pengarah JKM Kelantan, Yabrs. En. Md Noor Chik dan penutup dilakukan oleh Timbalannya Ybrs. En Che Ngah Ismail.

Acara-acara yang dipertandingkan ialah 100 meter, 4 x 100m, baling bola lisut, lompat jauh, lompat berdiri dan bola sepak 5 sebelah.







Rabu, 19 Mei 2010

Kelab PPDK

Pada 14 Mei 2010 baru-baru ini bertempat di Dewan Hj. Hussin, Perupok, Bachok telah diadakan Mesyuarat Agung Kelab Penyelia dan Petugas PDK Negeri Kelantan (Kelab PPDK). Mesyuarat kali ini adalah mesyuarat pemilihan jawatankuasa baru. Seerentak dengan itu juga diadakan satu Mini Seminar Pemantapan Penyelia dan Petugas.

Mesyuarat dihadiri oleh En. Wan Asrul Sani dari Ibu Pejabat JKM Kelantan yang turut memberi ceramah dalam Mini Seminar. Turut hadir ialah Sukarelawan JICA dan Pengerusi PDK Insani yang menjadi Pengerusi Sementara Mesyuarat Agung Pemilihan.

Kelab PPDK adalah satu Kelab sukarela yang terdiri daripada Penyelia dan Petugas PDK Seluruh negeri Kelantan. Ianya adalah kelab untuk pekerja PDK berkumpul dan merancang program bagi meningkatkan mutu kerja dan penambahbaikan kerjaya.

Dalam Pemilihan Jawatankuasa baru, Pn. Azuni Othman dari PDK Chepa dipilih menerajui Kelab PPDK dan dibantu oleh Che Esah Mat sebagai Timbalan Pengerusi. Jawatan Setiausaha disandang oleh Tengku Nor Hidayu Raja Salleh dari PDK Temangan. Penolong Setiausaha dari PDK Kem Desa. JawatanBendahari kekal kepada Pn. Rohana dari PDK Limbongan. Semua Jajahan di Kelantan mempunyai seorang wakil dalam Ahli Jawatankuasa kecuali Tumpat dua orang kerana mempunyai 6 buah PDK.

Semoga Kelab PPDK berfungsi sebagaimana yang diharapkan.







Rabu, 5 Mei 2010

Praktikal Masterskill...

Selama sebulan Jururawat Pelatih dari Masterskil membuat praktikal di PDK Insani bermula 19 April dan berakhir 14 Mei 2010. Selama sebulan ini mereka yang seramai 10 orang dan seorang ketua (JANETmenyertai program pemulihan di sini terutama yang memerlukan fisioterapi.

Selain di PDK, pelatih Masterskil juga dibawa ke rumah pelatih PDK di rumah untuk memperaktikkan fisioterapi yang mereka pelajari sebelum ini. Petugas PDK banyak mendapat manfaat daripada kehadiran mereka di PDK Insani. Begitu juga pelatih PDK. Manakala bagi pihak Jururawat Pelatih Masteskil pula mendapat ilmu yang cukup berharga.

PDK Insani mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin mengadakan latihanpraktikal di sini.







Khamis, 15 April 2010

Berkelah sambil Bakar Ikan Keli

Oleh kerana tahun ini tidak ada geran untuk aktiviti, PDK Insani menjalankan program yang menggunakan kos paling minima. Untuk itu, satu program berkelah di tepi sawah padi di Kampung Raja, Panyit yang disertai pelatih dan Petugas PDK Insani.

Program ini diadakan pada 14.4.2010 yang disertai oleh Pelatih dan Petugas PDK Insani. Pengerusinya, En. Mohd Razali berkata, meskipun tidak ada geran dari kerajaan untuk aktiviti, PDK Insani tidak mahu jadikan ianya alasan tidak menjalankan apa-apa program. Masih ada ruang untuk mengadakannya.

Kos yang terlibat dalam program ini ialah ikan keli, mee, dan hadiah sukaneka sahaja. Kos pengangkutan tidak ada sama sekali kerana ianya diadakan di kawasan berhampiran iaitu tepi sawah padi.

Keseronokan tetap terpancar di mata pelatih-pelatih. Acara yang diisi dalam program ini ialah senamrobik, bakar ikan keli dan sukaneka. Program bermula 8 pagi hingga 1 petang.






Isnin, 5 April 2010

MENYERTAI PAMERAN DI JUARA RAKYAT

Program Juara Rakyat Peringkat Negeri Kelantan Oleh Kerajaan Persekutuan telah memberi peluang kepada PDK-PDK Jajahan Machang melalui JKM Negeri Kelantan untuk mengadakan pameran dan jualan. 4 Buah PDK terlibat termasuk PDK Insani. Program selama tiga hari bermula 1 - 3 April 2010 diadakan di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah 1, Machang. Ianya dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia.








Tapi hampa orang yang ditunggu yang dijangka melawat tak nampak bayang pun....

Rabu, 17 Mac 2010

Meraikan Kemenangan Talentime 09

PDK-PDK jajahan Machang baru-baru ini telah berkumpul di Pantai Melawi Bachok untuk bersama meraikan kemenangan dalam pertandingan Talentime di KB Mall. Pelbagai acara diadakan seperti sukaneka, pertandingan wau cantik, teka guli dan senamrobik.

Program anjuran 4 buah PDK dengan kerjasama JKM Machang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ibu bapa dan Jawatankuasa.

Pada program itu juga, pemenang-pemenang dalam pertandingan talentime membuat persembahan sekali lagi di hadapan keluarga masing-masing.

Program seumpama ini sangat berguna dari segi proses pemulihan untuk pelatih-pelatih selain merapatkan silatulrahim.