Khamis, 12 Ogos 2010

Majlis Perpisahan - Masterskil ke 3

Baru-baru ini (10.8.2010) PDK Insani diraikan dengan Majlis Perpisahan oleh Pelajar Kolej Masterskil kumpulan ketiga yang membuat Latihan praktikal fisioterapi di sini. Majlis secara kecil-kecilan itu dibuat bagi menandakan terima kasih dan penghargaan terhadap penerimaan mereka mengikuti praktikal di sini.

Pengerusi PDK Insani En. Mohd Razali Md Din turut hadir bagi bersama pelatih-pelatih dan petugas serta pelajar Masterskil meraikan masjli tersebut.

Kumpulan seramai 10 orang dan seorang CC (Ketua) itu telah berada di PDK Insani sebulan yang lalu. Mereka mengikuti latihan di PDK dan juga lawatan ke rumah. Kumpulan keempat akan datang mengikuti praktikal yang sama minggu depan juga selama sebulan.

Majlis hari ini dipenuhi dengan ramah mesra, makan dan acara bergambar.











Isnin, 9 Ogos 2010

Perkelahan Bersama Pelatih Masterskil

Pada 7hb. Ogos 2010, Ahad, 20 orang Pelatih PDK Insani dan petugas seramai 5 orang telah mengadakan perkelahan di Hutan Lipur Bukit Bakar, Machang, Kelantan. Program ini turut disertai Pelatih Kolej Masterskil seramai 11 orang. Pelatih Kolej Masterskil ini sedang mengadakan latihan praktikal fisioterapi di PDK Insani selama sebulan.

Program perkelahan ini diselitkan dengan acara sukaneka anjuran Pelatih-pelatih Masterskil . Sementara acara sukaneka berlangsung, aktiviti bakar ikan keli dan ayam diadakan di tepi anak sungai berdekatan.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk membiasakan pelatih dengan tempat awam. Selain itu, program ini juga bertujuan membina semangat gotong royong di kalangan pelatih PDK. Kebosanan di PDK setiap hari juga antara tujuan program ini diadakan bagi menghilangkan perasaan itu. Kehadiran mereka tanpa ditemani penjaga/ibubapa membolehkan pelatih PDK mengikuti program pemulihan secara tidak langsung.

Sepanjang program berlangsung, semua wajah pelatih PDK menunjukkan reaksi yang sangat gembira dan seronok berada di situ.











Ahad, 8 Ogos 2010

Menghadiri Karnival YOKUK ke 11


Sebagai memenuhi jemputan, pada 6hb. Ogos 2010 - Sabtu, PDK Insani tidak ketinggalan menyertai Karnival Yokuk (Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan) kali ke 11 di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa. Program berupa pesta pasaria dan pertandingan itu bermula 9 pagi dan berakhir 5 petang. Antara pertandingan yang diadakan ialah Tarian Moden, tarian Tradisional, Pertandingan Memasak dan Sukaneka. Peserta terdiri dari pelatih PDK dan Pendidikan Khas.

Pelatih PDK Insani turut menyertai pertandingan tarian moden dan hanya mendapat tempat ketiga.

Selepas keputusan diumumkan pada jam 2 petang, PDK Insani bertolak pulang melalui Tok Bali dan singgah di situ untuk makan tengahari sambil besantai.

Ahad, 1 Ogos 2010

Talentime PDK Piala Perdana Menteri


Selesailah sudah program talentime PDK Piala Perdana Menteri Peringkat Negeri Kelantan. Pertandingan antara juara-juara zon menyaksikan PDK Insani (Tarian Perpaduan Malaysia) hanya mendapat tempat kedua (Naib Johan) dalam kategori Kumpulan sekali gus menghilangkan peluang ke peringkat Kebangsaan di Kuala lumpur Disember ini. Johan pertandingan peringkat kumpulan ialah PDK Che Pa dari Kota Bharu dengan tajuk tariannya Tarian satu Malaysia.
Dalam Kategori solo, Johan disandang juga dari PDK Chepa dan Pelatih PDK Bandar Machang mendapat tempat kedua (Nik Aimi Azlin)

Kategori Duet dimenangi oleh PDK Jajahan Pasir Puteh.

Hadiah pemenang disampaikan oleh Datin Kamarzan, Pengerusi Penawar. Program Talentime PDK Peringkat Negeri Kelantan dirasmikan oleh Datuk Seri Mustapha Mohamad. Turut hadir Pengarah JKM Negeri Kelantan, Yabrs. En. Md Noor bin Chik.
Johan pertandingan ini kecuali duet akan berentap di Kuala Lumpur pada Disember ini. Semoga berjaya.


Sabtu, 24 Julai 2010

Selamat Datang Penyelaras PDK Baru.


PDK-PDK Jajahan Machang menerima Penyelaras baru iaitu En. Aman bin Md. Bakri menggantikan Cik Norul Asliza Noruldin. Tidak banyak maklumat yang dapat diketahui setakat ini berkenaan En. Aman. Cuma secara amnya, beliau berasal dari Pasir Mas.

PDK Insani mengharapkan En. Aman sukses dalam tugasnya sebagai Penyelaras PDK. Mudah-mudahan dengan adanya beliau, dapat memantapkan dan memajukan lagi PDK-PDK Jajahan Machang.
Pada 22hb Julai 2010, untuk pertama kali beliau bersama bermesyuarat dengan Pengerusi dan Penyelia PDK-PDK jajahan Machang berkaitan Talentime Peringkat Negeri dan Kebangsaan. PKMJ Machang turut hadir bersama Pembantu pegawai, Cik Siti Alwani Junuh.

Jumaat, 9 Julai 2010

Salam Perpisahan


Penyelaras PDK Jajahan Machang, Cik Norul Asliza Noruldin telah menamatkan tugasnya di Jabatan Kebajikan Masyarakat Jajahan Machang pada hari Khamis, 8 Julai 2010. Beliau telah bertukar ke Marang Terengganu, negeri kelahirannya.

Mengikut katanya, beliau bertukar ke Terengganu secara suka sama suka dengan staf di sana. Seminggu lagi Penyalaras PDK baru akan datang ke JKM Machang.

Sempena pertukarannya, PDK Insani bersama PDK Temangan telah mengadakan majlis perpisahan secara kecil-kecilan di bilik Mesyuarat JKM Machang pada jam 2 petang hari tersebut. Turut hadir Pegawai JKM Machang, Ybrs. Tuan Noor Rosniza Tuan Puteh, Pengerusi PDK Insani (En. Mohd Razali MD Din) dan Pengerusi PDK Temangan (En. Zulkefeli Rani) serta wakil Petugas PDK Bandar Machang iaitu Pn. Zaiton Abdullah. Petugas PDK Insani dan PDK Temangan hadir dalam majlis itu.

Pada majlis itu, Cik Norul diberi penghormatan memotong kek perpisahan yang disediakan oleh PDK Insani dan PDK Temangan. Majlis dicuit dengan rasa terharu oleh-oleh Wakil-Wakil petugas dalam ucapan mereka.

Cik Norul dalam ucapannya mengucapkan berbanyak terima kasih di atas kerjasama PDK-PDK berikan selama 5 bulan beliau bertugas di sini. Beliau banyak berlajar tentang PDK di sini.

Majlis berakhir pada jam 3.30 petang. (Selamat jalan dan selamat bertugas di tempat baru) Mudah-mudahan Cik Norul sukses selalu.

Rabu, 7 Julai 2010

Talentime Zon Semaian kasih - PDKI Johan Kumpulan




Bertempat di Dewan Teknik Kuala Krai, baru-baru ini (6.7.2010), telah berlangsung Pertandingan Talentime Peringkat Zon Semaian kasih yang melibatkan PDK-PDK Jajahan Machang, Kuala Krai dan Gua Musang. Seramai 8 buah PDK dari 3 jajahan telah mengemukakan peserta untuk dinilai oleh juri.

Pertandingan tahun ini dibahagi tiga kategori iaitu nyanyian solo, berduet dan tarian berkumpulan. PDK Insani hanya menghantar kumpulan tarian seramai sepuluh orang. Tarian PDK Insani menggunakan lagu nyanyian Lenka iaitu Trouble is a friend. Tarian ini dicipta oleh Penyelia dan Petugas PDK Insani yang kemudiannya diubahsuai oleh Pengerusinya untuk menepati tema ala-ala 1Malaysia.
Seramai 5 peserta solo, 3 peserta duet dan 8 kumpulan menyertai pertandingan ini.

Keputusan: Johan Solo dimenangi oleh peserta PDK Bandar Machang, Duet dari PDK Guchil dan kumpulan oleh PDK Insani. Hadiah disampaikan oleh Wakil Penawar - (Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Kelantan). turut hadir Pengarah JKM- Yabrs En. Md Noor bin Chik

Semua pemenang akan bertanding peringkat negeri di Kota Bharu pada 25hb Julai 2010. Dan Johan peringkat negeri akan bertanding di Kuala Lumpur pada 3 - 5 Disember tahun ini.