Rabu, 22 September 2010

MOHON SUMBANGAN UNTUK PDK TEMANGAN

Takdir Tuhan tidak ada siapa pun yang dapat menduga. Musibah yang menimpa meninggalkan kesan yang sungguh menyayat hati terutama pelatih OKU yang sentiasa ceria ketika di PDK. Saat api menjulang membakar sebahagian premis PDK, pelatih-pelatih OKU mengikut sahaja arahan petugas supaya segera keluar.Mereka berkumpul di satu sudut sambil melihat api yang marak membakar tempat mereka selama ini menjalani program pemulihan.

Sesetengah dari mereka tidak mengetahui apa makna sedih tetapi sesetengahnya mengerti dan wajah mereka membayangkan rasa sayu melihat PDK tempat sebahagian kehidupan mereka ranap sedikit demi sedikit....

Oleh kerana PDK Insani adalah jiran terhampir (lebih kurang 5km) Kami seluruh warga PDK Insani merakamkan rasa simpati yang teramat sangat.

Justeru itu kami menyeru dan merayu kepada individu dan korporat serta mana-mana pihak untuk tampil menghulurkan dalam apa saja bentuk sumbangan kepada PDK Temangan untuk mereka bangun semula. Mudah-mudahan terubat dan menambahkan semangat mereka semula untuk meneruskan program-program PDK.

Semua sumbangan kewangan / cek berpalang hendaklah atas nama :
Jawatankuasa PDK Temangan

Atau terus kepada akaun Bank Islam Berhad :
03045010024398

Semua sumbangan dato'/Datin/tuan/puan amatlah dihargai dan mudah-mudahan Allah jua yang akan membalas segala kebaikan.

Kepada para blogger dan pelayar internet mohon sebarkan permohonan ini.

SEBARANG PERTANYAAN DAN PERHUBUNGAN SILA HUBUNGI:
MOHD RAZALI MD DIN
(TEL: 013-9238931)

Sabtu, 4 September 2010

MENYERTAI MAJLIS BUKA PUASA DI JKMN

Pada 2hb. September 2010, satu jemputan berbuka puasa dan majlis perasmian pejabat baru JKM negeri Kelantan telah diterima oleh PDK Insani. Pengerusi, Penyelia, seorang petugas (Raja Azizah R Yusoff) dan dua orang pelatih (Khairunnisan Ahmad dan Asilah Mohamad) telah menghadiri majlis itu yang diadakan di perkarangan pejabat JKM Negeri Kelantan di Darulnaim.

Perasmian pejabat baru dilakukan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan. Pada majlis itu juga diadakan sumbangan kepada atlet Special Olimpics yang memenangi pingat di Kejohanan Special Olimpics di Ipoh baru-baru ini. Sebelum berbuka majlis diselitkan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh OKU dan tazkirah oleh Ybhg. Ust. Hj. Saibon.

Pengerusi PDK Insani, Pengerusi PDK Bandar Machang dan Pengerusi PDK Pulai Chondong adalah antara dif-dif jemputan yang hadir bagi PDK jajahan Machang.



Rabu, 1 September 2010

SAMBUTAN KEMERDEKAAN KE -53

Sempena Hari Kemerdekan tahun 2010 ini, PDK Insani tidak ketinggalan untuk menyambutnya. Seminggu sebelum tibanya tarikh 31 Ogos, Petugas PDK dan Pelatih PDK Insani bertungkus lumus untuk membuat persiapan sambutannya.

Walaupun sambutan dibuat secara sederhana tetapi kemeriahan tetap ada apabila turut disertai oleh pelajar Masterskil yang kebetulan membuat praktikal fisioterapi di sini.

Tujuan sambutan ini adalah untuk melibatkan pelatih dengan program bersifat patriotik. Selain itu program ini diharapkan dapat menanam perasan cintakan Negara dan mempertahankan kemerdekaannya.

Acara kemuncak sambutan ini ialah laungan Merdeka oleh pelatih dan petugas PDK serta pelajar Masterskil.

“Satu Malaysia Menjana Transformasi”