Esei 1
KANAK-KANAK AUTISME: CIRI-CIRI DAN IMPLIKASI DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
KANAK-KANAK AUTISME: CIRI-CIRI DAN IMPLIKASI DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Oleh:
Khairul Anwar Bin Sharin
INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA
Khairul Anwar Bin Sharin
INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA
KAMPUS PENDIDIKAN TEKNIK KUALA LUMPUR
1.0 PENDAHULUAN
Autisme bermula sejak awal 20 masihi lagi. Perkataan autisme berasal daripada perkataan bahasa Greek iaitu “autos” yang bermaksud sendiri. Dalam situasi ini, autos merujuk kepada seseorang yang hidup dalam dunianya sendiri. Seorang ahli psikologi dari Harvard iaitu Leo Kanner telah memperkenalkan istilah austis pada tahun 1943 berdasarkan pemerhatian beliau terhadap penghidap autisme yang menunjukkan respon yang negatif dalam berkomunikasi dengan orang lain, pengasingngan diri, keadaan yang tidak fleksibel dengan orang lain dan cara komunikasi yang berbeza daripada orang biasa. Hasil kajian, (Michael Waldman, Sean Nicholson,& Nodir Adilov, 2006), di dalam jurnalnya yang bertajuk “Does Television Cause Autism?” menyatakan bahawa 1 daripada 166 kanak-kanak di dunia merupakan penghidap autisme.
Menurut kamus Oxford Advance Learner autism ialah a mental condition in which a person is unable to communicate or form relationships with other. Kamus Electronik Encarta terbitan Microsoft Coporation pula menyatakan bahawa autisme ialah a disturbance in phycological development in which use of language, reaction to stimuli, interpretation of the world, and the formation of relationships are not fully established and follow unusual pattern. Maka, dapat disimpulkan di sini, autisme merupakan ganguan psikologi terhadap perkembangan komunikasi, gerakan tubuh badan, sikap, emosi, sosial, dan sentuhan.
Menurut Dr. Widowo Judarwanto di dalam jurnalnya yang bertajuk “Pencegahan Autis Pada Anak”, kebiasaanya autistik tidak langsung mempedulikan suara, penglihatannya ataupun perkara-perkara yang berlaku dipersekitaran mereka. Sekiranya mereka memberi reaksi terhadap sesuatu perkara, kebiasaanya, reaksi mereka langsung tidak menyentuh mengenai perkara tersebut, malah adakalanya mereka tidak langsung memberi apa-apa reaksi.
2.0 CIRI-CIRI KANAK-KANAK AUTISME
2.1 Komunikasi dan Bahasa
Menurut Dr. Widowo, penghidap autisme biasanya mengalami masalah gangguan dalam komunikasi. Mereka lambat untuk bercakap dan ada sesetengahnya gagal secara total untuk bercakap. Sekiranya mereka dapat bercakap, mereka hanya bercakap untuk masa yang singkat, tidak dalam waktu yang lama. Menariknya, mereka hanya mampu untuk menggunakan bahasa tubuh untuk berkomunikasi dengan orang lain. Mereka mampu untuk meniru apa yang orang lain katakan, tetapi mereka gagal untuk memahami maksud kata-kata tersebut.
2.2 Kognitif
Autisme merupakan masalah dalam mental penghidapnya. Maka, ia turut memberi kesan dalam perkembangan kognitif mereka. Menurut (Michael Waldman, Sean Nicholson,& Nodir Adilov, 2006) dalam jurnalnya menyatakan bahawa kanak-kanak autisme ini mengalami masalah separa buta akal. Mereka kurang memahami konsep pemahaman yang difikirkan oleh orang lain.
2.3 Interaksi Sosial
Dr. Widowo menyatakan bahawa penghidap autisme biasanya mengelakkan diri untuk bertentang muka dengan orang lain. Mereka tidak menyahut apabila mereka dipanggil tetapi hanya menolehkan muka kepada orang yang memanggil mereka. Kebiasaannya penghidap autisme akan merasa tidak selesa jika mereka ini dipeluk, tetapi mereka tidak menolak pelukan tersebut. Sekiranya mereka menginginkan sesuatu mereka akan memegang tangan orang yang berhampiran dengan mereka dan mengharapkan orang tersebut melakukan sesuatu untuk memenuhi keinginannya. Mereka tidak akan berasa selesa sekiranya waktu mereka bermain ada orang lain cuba untuk mendekati mereka dan mereka akan mengambil tindakan untuk menjauhkan diri daripada orang tersebut.
2.4 Ganguan Emosi
Menurut Dr. Widowo lagi, kebanyakan penghidap autisme, mengalami masalah emosi yang tidak seimbang. Kadangkala mereka akan ketawa, menangis atau marah seorang diri tanpa sebab yang munasabah. Mereka ini mempunyai sikap panas baran yang sukar dikawal terutama apabila mereka gagal untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan. Ini boleh menyebabkan mereka menjadi manusia yang agresif.
2.5 Perangai dan Sikap
Dr. Widowo menafsirkan bahawa kanak-kanak autisme ini senang untuk diuruskan apabila meletakkan sesuatu barang pada tempat-tempat yang tertentu. Kadangkala, kanak-kanak ini akan berubah sikap menjadi kanak-kanak yang hiperaktif terutamanya apabila mereka berhadapan dengan suasana yang asing buat mereka. Mereka akan meniru perbuatan yang dilihatnya seperti burung yang sedang terbang. Mereka akan melambai-lambaikan tangan seolah-olah mereka juga ingin terbang. Ibu bapa dan guru perlu memberikan perhatian yang lebih kepada kanak-kanak autisme kerana mereka mampu untuk mencederakan diri mereka seperti menghantukkan kepala mereka ke dinding. Kadangkala juga, mereka akan bersikap pasif dengan berdiam diri sambil merenung dengan renungan yang kosong. Perubahan sikap yang ditunjukkan seperti marah dengan tiba-tiba dan memberi perhatian yang bersungguh-sungguh terhadap sesuatu perkara.
2.6 Kesan Sentuhan Fizikal
Hasil kajian Dr. Widowo menunjukkan bahawa kebanyakkan penghidap autisme sangat sensitif terhadap cahaya, bunyi, sentuhan, rasa dan ciuman. Kebiasaannya penghidap autisme mengalami tabiat suka menjilat, menggigit, atau mencium apa sahaja barang termasuklah barang mainan mereka. Mereka akan menutup telinga apabila mereka terdengar bunyi kuat. Apabila kanak-kanak autisme ingin dimandikan mereka akan menangis apabila rambut mereka dibasahkan. Mereka juga tidak selesa jika mereka dipakaikan dengan pakaian-pakaian yang tertentu menyebabkan ibu bapa sukar untuk menguruskan pakaian mereka. Mereka amat tidak selesa dengan pelukan atau rabaan. Mereka akan cuba mengelak atau melepaskan diri daripada perbuatan tersebut.
3.0 IMPLIKASI KANAK-KANAK AUTISME DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Guru memainkan peranan penting dalam menguruskan kanak-kanak autisme di sekolah. Ini kerana kanak-kanak autisme ini sukar dikenal pasti secara melalui fizikal semata-mata. Mereka mengalami masalah komunikasi yang kronik sehingga mereka tidak mampu untuk mengenal pasti riak air muka, bahasa tubuh, isyarat atau perlambangan, dan nada suara yang berbeza bagi menafsirkan perasaan.
Menurut Vacca (2007) dalam jurnalnya yang bertajuk Autistic Children Can Be Taught To Read menyatakan bahawa pemikiran imaginasi kanak-kanak autistik sentiasa berkurangan, maka penulisan dan pembacaan yang kreatif terlalu sukar untuk difahami oleh mereka. Maka, guru perlu mengajar dalam bentuk yang lebih fakta dan konkrit. Sebagai contohnya, guru menanyakan soalan fakta seperti “Apa yang berlaku disini?, apa yang akan berlaku seterusnya?” dan sebagainya. Vacca (2007) percaya bahawa adalah lebih baik sekiranya guru menggunakan bahan yang realiti berbanding bahan yang berbentuk fantasi.
Menurut Vacca (2007) lagi, beliau menyatakan bahawa guru perlu menjadikan aktiviti membaca untuk autistic suatu aktiviti yang menyeronokkan dengan menggunakan Authetic High Interest Visual Material. Berdasarkan journal beliau, Grandin (2002) menyatakan bahawa kanak-kanak autisti memiliki pemikiran visual. Mereka tidak memikirkan bahasa tetapi dalam bentuk gambar rajah.
Menurut Vacca (2007) , beliau menyatakan lagi dalam kajian beliau bahawa dalam memulakan pengajaran untuk kanak-kanak autistik, guru perlu mengikut minatnya terlebih dahulu. Sebagai contohnya, guru meminta kanak-kanak autistic melukis kartun lawak dan kemudian menulis penerangan mengenai kartun tersebut dibawah gambar tersebut.
Apabila mereka selesai dalam melakukan sesuatu tugasan, berikanlah kata-kata pujian walaupun adakalanya mereka tidak memahami pujian tersebut. Ganjaran juga boleh diberikan seperti melebihkan masa bermain mereka kerana mereka telah berjaya melakukan sesuatu tugasan.
Semasa mengajar, guru digalakkan untuk menggunakan kata-kata, foto-foto, gambar rajah, lambang atau isyarat bagi membantu mereka untuk meluahkan perasaan mereka. Keprihatinan guru dalam mengenal pasti perasaan mereka adalah perlu agar emosi dan perasaan mereka tidak mempengaruhi tingkah laku mereka cenderung ke arah negatif seperti mencederakan diri atau orang lain.
4.0 PENUTUP
Penyakit kecacatan pada mental yang memberi kesan sepanjang hidup ini terlalu sukar untuk dipulihkan. Maka, adalah menjadi tanggungjawab kepada semua pihak terutamanya guru-guru dalam mengenal pasti setiap ciri-ciri kanak-kanak autisme ini supaya dapat berhadapan dengan mereka dengan bijak dan menggunakan segala kemahiran yang ada dalam membentuk mereka menjadikan seperti kanak-kanak yang lain. Kesabaran dan ketabahan diperlukan dalam menguruskan kanak-kanak autisme ini kerana tanpa kesabaran dan ketabahan yang tinggi menyebabkan kanak-kanak ini akan terus cacat seumur hidup mereka.
5.0 RUJUKAN
5.1 Rujukan Utama
1. Judarwanto, D. W. (n.d.). Pencegahan Autis Pada Anak. Phycology , 1-11.
2. Michael Waldman, Sean Nicholson,& Nodir Adilov. (2006). Does Television Cause Autism? Psycology , 1-44.
3. Vacca, J. S. (2007). Autistic Children Can Be Taught To Read. Psychology , 54-61.
5.2 Rujukan Tambahan
1. Haliza Hamzah, Joy N. Samuel & Rafidah Kastawi. (2008). Perkembangan Kanak-kanak Untuk Program Perguruan Pendidikan Rendah Pengajian Empat Tahun. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
2. Jaafar, J. L. (2002). Psikologi Kanak-kanak dan Remaja. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
3. Meng, E. A. (2002). Psikologi Pendidikan 1 : Psikologi Perkembangan (Semester 1). Shah Alam, Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
4. Wehmeirer, S. (2006). Oxford Advenced Learner's Dictionary. New York: Oxford Univercity Press.
5. Veenstra-VanderWeele, Jeremy. "Autism." Microsoft® Student 2008 [DVD]. Redmond, WA: Microsoft Corporation, 2007.
MASALAH PEMBELAJARAN AUTISME (AUTISM SPECTRUM DISORDER)
DEFINISI
Autisme didefinasikan sebagai kanak-kanak yang berada dalam dunianya sendiri atau menurut Leo Kanner (1943) sebagai individu yang tidak berkeupayaan menyesuaikan diri mereka secara normal dengan persekitaran. Menurut kajian Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) menjelaskan maksud Autisme seperti berikut:
“Autisme adalah satu kekurangan seumur hidup dan menampakkan kesannya dalam masa 30 bulan yang pertama seseorang bayi. Komunikasi antara mereka adalah terbantut dan mereka tidak dapat berhubung dengan secara langsung. Mereka juga mempunyai masalah tingkah laku. Individu autisme mempunyai kelebihan intelek yang luas. Kerap kali mereka menunjukkan kelebihan dalam bidang matematik atau kemahiran makenikal ataupun dalam seni muzik, ‘rote memory’ dan lain-lain”.
FAKTOR-FAKTOR AUTISME
Dari segi genetik, adik-adik kepada individu autistik lebih berisiko mengalami autisme berbanding orang lain, terutama bagi pasangan kembar seiras. Selain itu, autisme juga sering dikaitkan dengan kecelaruan genetik dan masalah yang berkaitan dengan perubatan seperti Fergile X syndrome, Tuberous Sclerosis dan Phenylketonuria (PKU).
Masalah sebelum dan selepas kelahiran juga boleh menyebabkan autisme. Diantaranya adalah seperti jangkitan rubella semasa dalam kandungan ibu, encephalitis, kekurangan oksigen semasa lahir, keracunan makanan dan bengkak cantik (mumps). Susunan kedudukan adik beradik juga boleh menyumbang kepada masalah autisme, iaitu anak sulung dalam keluarga yang mempunyai dua anak, anak yang keempat atau yang berikutnya bagi keluarga yang mempunyai empat atau lebih (Gargiulo, 2003).
Berkaitan dengan fungsi otak, terdapat bukti yang kukuh bahawa ketidakfungsian cereblum, limbic system dan kemungkinan juga temporal lobe dan cortex terjadi kepada individu autisme.
Kewujudan autisme juga dikaitkan dengan faktor kecelaruan autoimmune dan juga persekitaran. Dalam sesetengah keluarga yang mempunyai anak autisme, ketidakfungsian pelalian (immune dysfunstion) akan berkait dengan beberapa faktor persekitaran yang boleh menyebabkan autisme. Terutamanya alahan kepada makanan seperti susu dan gandum yang tidak dapat dicernakan dengan baik. Terdapat lebih dari 60% kanak-kanak autistik mempunyai sistem pencernaan yang kurang baik. Makanan seperti susu berasaskan haiwan dan tepung gandum tidak dapat dicerna dengan baik dan menyebabkan protien daripada makanan ini tidak bertukar menjadi asid amino ataupun pepton, iaitu bentuk rantaian yang mana akhirnya dibuang memlalui kencing. Bagi kanak-kanak autistik, pepton ini diserap kembali oleh tubuh, memasuki aliran darah, terus ke otak dan diubah menjadi morfin iaitu casomorfin dan gliadrofin yang merosakkan sel-sel otak dan menyebabkan fungsi otak terganggu. Fungsi otak yang terganggu adalah yang melibatkan fungsi kognitif, komunikasi reseptif, tumpuan perhatian dan tingkah laku (Jamila K.A. Mohamed, 2005).
CIRI-CIRI AUTISME
Jamila K.A. Mohamed (2005), telah menggabungkan kesemua ciri kanak-kanak autisme dan dibahagikan kepada enam bidang iaitu:
i. Komunikasi
Kanak-kanak autisme menunjukkan ciri-ciri komunikasi seperti berikut:
• Perkembangan bahasa lambat ataupun tiada langsung.
• Kelihatan seperti bermasalah pendengaran dan tidak
mengendahkan apa yang dikatakan oleh orang lain.
• Jarang menggunakan bahasa.
• Sukar diajak bercakap.
• Kadang kala dapat menuturkan sesuatu tetapi buat seketika sahaja.
• Perkataan atau jawapan yang dituturkan tidak sesuai dengan pertanyaan.
• Mengeluarkan bahasa yang tidak difahami.
• Meniru perbualan ataupun nyanyian tanpa mengerti maksudnya.
• Suka menarik tangan orang lain apabila meminta sesuatu.
ii. Interaksi Sosial
Interaksi sosial kanak-kanak autisme dapat digolongkan sebagai sangat sukar dan ekstrem:
• Suka bersendirian.
• Tiada perhubungan mata (eye contact) dan sentiasa mengelak daripada
memandang orang lain.
• Tidak gemar bermain dengan rakan dan sering menolak ajakan rakan.
• Suka menjauhkan diri dan duduk di suatu sudut.
iii. Gangguan Deria
Diantara ciri-ciri gangguan deria kanak-kanak autisme adalah:
• Sensitif pada sentuhan.
• Tidak suka dipegang ataupun dipeluk.
• Sensitif dengan bunyi yang kuat dan menutup telinga.
• Suka mencium dan menjilat mainan atau benda lain.
iv. Pola Bermain
Pola bermain kanak-kanak autisme ditunjukkan seperti berikut:
• Tidak suka bermain seperti rakan-rakan sebayanya.
• Tidak bermain mengikut cara biasa, dan suka memutar-mutar ataupun
melambung-lambung dan menyambut mainan atau apa saja yang
dipegangnya.
• Suka dengan objek-objek yang berputar seperti kipas angin.
• Apabila menyukai sesuatu benda, terus dipegang dan dibawa ke mana sahaja.
v. Tingkah Laku
Tingkah laku kanak-kanak autisme adalah seperti berikut:
• Sama ada hiperaktif ataupun hippoaktif.
• Melakukan perbuatan ataupun gerakan yang sama dan berulang-ulang
seperti bergoyang-goyang, mengepak-ngepak tangan dan menepuk-
nepuk tangan, berlari atau berjalan mundar mandir.
• Tidak suka pada perubahan (daripada apa yang sedang dilakukannya).
• Dapat duduk dengan lama tanpa berbuat apa-apa dan tanpa sebarang
reaksi.
vi. Emosi
Emosi kanak-kanak autisme sangat sukar diramal dan berubah-rubah. Diantaranya ialah:
• Sering marah, ketawa dan menangis tanpa sebab, mengamuk tanpa
terkawal jika tidak dituruti kemahuannya atau dilarang daripada
melakukan sesuatu yang diingininya.
• Merosakkan apa saja yang ada disekitarnya jika emosinya terganggu.
• Menyerang sesiapa sahaja berhampirannya jika emosinya terganggu.
• Adakalanya mencederakan dirinya sendiri.
• Tiada rasa simpati dan tidak memahami perasaan orang lain.
PERKHIDMATAN INTERVENSI UNTUK KANAK-KANAK AUTISME
Proses intervensi bagi kanak-kanak autistik bermula sebaik saja masalah ini dikesan. Tumpuan intervensi pada peringkat pemulaan tertumpu kepada rawatan perubatan dan pengurusan tingkah laku. Rawatan perubatan yang luas digunakan untuk kanak-kanak autistik adalah penggunaan ubatan Ritalin untuk merawat masalah kurang tumpuan dan hiperaktif. Selain itu, pengambilan vitamin B6 bersama magnesium juga dapat membantu meningkatkan kesedaran dan tumpuan perhatian kanak-kanak autistik.
Pengurusan tingkah laku merangkumi pelbagai strategi dan teknik yang digunakan untuk menambah atau mengekalkan tingkah laku sasaran (positif) dan mengurang atau menghapus tingkah laku sesuai. Diantara teknik yang digunakan adalah seperti pengasingan, kejelakan, time-out, shaping, memberi ganjaran dan sebagainya. Perkhidmatan interventif awal sangat penting bagi kanak-kanak autistik untuk membantu mengurangkan masalah autistik yang mereka alami. Selain rawatan perubatan dan pengurusan tingkah laku, perkhidmatan intervensi awal termasuklah pendidikan terancang.
Kanak–kanak autisme boleh dididik melalui program pendidikan yang bersepadu dan terancang. Keunikan corak pembelajaran mereka adalah disebabkan kepelbagaian atau kerencaman masalah lain yang berkait dengan masalah autisme itu sendiri seperti masalah tingkah laku, emosi, komunikasi, sosial, dan kognitif. Kanak-kanak ini diajar oleh guru-guru yang terlatih dalam bidang Pendidikan Khas. Bagi mencapai objektif pembelajaran kanak-kanak autisme ini, semua pihak yang terlibat terutamanya guru-guru hendaklah mempunyai kerjasama yang erat dengan ibubapa murid. Matlamat utama adalah supaya kemahiran dan pendekatan yang diajar di sekolah diteruskan dan diaplikasikan oleh ibubapa di rumah terutamanya dalam aspek pengurusan tingkah laku. Dalam kebanyakkan kes, kanak-kanak yang sudah biasa dengan tingkah laku tertentu yang kurang sesuai mendapati sukar untuk mengubah atau menghentikan tingkah laku tersebut apabila berada di sekolah. Usaha guru untuk mengubah tingkah laku itu tidak akan berjaya sekiranya tidak ada kesinambungan usaha tersebut di rumah oleh ibubapa.
Kanak-kanak autisme yang menunjukkan prestasi yang baik di dalam kelasnya diberi peluang untuk meningkatkan lagi keupayaannya melalui program Pendidikan Inklusif. Pelajar ini akan ditempatkan di Kelas Aliran Perdana untuk belajar bersama-sama dengan rakan sebaya lain yang normal. Pada peringkat awal, kanak-kanak ini akan ditemani oleh guru pembimbing. Guru pembimbing akan membantu dan memantau kanak-kanak ini belajar. Kurikulum untuk kanak-kanak autisme adalah sama seperti kanak-kanak berkepeluan khas yang lain juga.
Apabila kanak-kanak ini ditempatkan di dalam kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (Bermasalah Pembelajaran), mereka akan belajar mengikut Kurikulum Pendidikan Khas yang disediakan oleh Jabatan Pendidikan Khas. Guru akan menyampaikan pelajarannya mengikut tahap keupayaan murid dan tidak begitu terikat dengan sukatan pelajaran.
RUJUKAN
Jamila K.A. Mohamed (2006). Pendidikan Khas untuk Kanak-kanak Istimewa.
Kuala Lumpur : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Kemementerian Pendidikan Malaysia (2005). Buku Maklumat Pendidikan Khas :
Kuala Lumpur.
Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia, (2000). Sukatan
Pelajaran Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran Sekolah Rendah
dan Menengah.
Modul Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran : Open University Malaysia.