Sejarah PDK Insani

PDK INSANI Kg. Raja adalah satu perancangan dalam pembangunan komuniti untuk memulihkan bagi memberi penyamaan peluang dan integrasi sosial untuk golongan kurang upaya (OKU) seperti down sindrom, spastik (celebral palsy), masalah pembelajaran, cacat akal, hiper aktif dan lain-lain.

PDK INSANI Kg. Raja ditubuhkan menerusi usahasama golongan OKU, keluarga mereka dan komuniti tempatan dengan kerjasama perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan, pelajaran, vokasional dan kebajikan dengan tujuan yang sama iaitu ke arah pemulihan OKU dari segi pengurusan diri, pengembangan minda dan kemahiran tertentu.

Program Pemulihan Dalam Komuniti adalah satu pengkongsian usaha pemulihan antara kerajaan, pertubuhan sukarela kebajikan dan komuniti setempat.

PDK INSANI Kg. Raja ditubuhkan pada 20hb. Mei 2005 di Kampung Raja, Panyit, 18500 Machang, Kelantan yang dihadiri antaranya Pegawai JKM Daerah, Wakil Pegawai Kesihatan Daerah dan Wakil Pegawai Pelajaran Daerah serta penduduk kampung.

Persatuan Insan Istimewa Kelantan (INSANI) bertanggungjawab sepenuhnya sehingga terwujudnya PDK Insani. Hasil keputusan mesyuarat Jawatankuasa INSANI, bersetuju menubuhkan sebuah pusat pemulihan untuk OKU. Setiausaha INSANI - En. Mohd Razali Md Din dipertanggungjawabkan untuk mengetuai penubuhan ini. Dengan kerjasama Pn. Sharifah Raudzah Syed Akil (Naib Pengerusi INSANI) , Maziah Mansor (AJK Insani) dan Pn. Masliza Che Mohamed (AJK), En. Mohd Razali telah melakukan beberapa penyelidikan dan kajian berkenaan PDK. Sokongan dan tunjuk ajar Penyelaras PDK Negeri Kelantan ketika itu, En. Johar Johari turut menyumbang kepada kejayaan menubuhkan PDK Insani.

Kemudian beberapa lawatan sambil belajar ke PDK Jerangau dan Lions Club di Kota Bharu dilakukan untuk mendapat gambaran sebenar program pemulihan OKU. 

Selepas perbincangan diadakan dengan Pegawai JKM Machang ketika itu En. Ahmad Tarmidi Nawawi Abdul Razak, akhirnya pada tarikh 20hb. Mei 2005 majlis penubuhan Jawatankuasa diadakan di rumah Ku Suhairi Raja Ibrahim.

Pengumpulan pelajar PDK peringkat awal seramai 17 orang dijalankan di sekitar Kg. Raja dan kampung berhampiran oleh En. Mohd Razali, Maziah Mansor, Ku Suhairi dan Rohimah Safein.

PDK Insani memulakan program pemulihan secara rasmi pada 1 Ogos 2005 di sebuah rumah yang disewa di Kg. Raja. Pada awalnya bilangan pelajar berjumlah 17 orang dan sehingga kini jumlah itu meningkat kepada 30 orang (23 di PDK dan 7 di rumah).

Pada peringkat awal, 3 orang pekerja PDK bertugas secara sukarela dengan saguhati RM250 seorang diberikan oleh Persatuan Insan Istimewa Kelantan sehinggalah geran diluluskan pada tahun 2006. Sehingga kini, PDK Insani mempunyai 4 orang pekerja iaitu seorang penyelia dan 3 orang petugas.

Pada 12/12/2017, PDK Insani telah bermesyuarat menubuhkan Persatuan Pemulihan Dalam Komuniti Insani dan pada 27/12/2017, kelulusan telah diberikan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS). Penubuhan persatuan ini adalah selaras dengan arahan JKM yang mahu semua PDK di Malaysia didaftarkan bawah ROS.

Demikian sejarah ringkas penubuhan PDK Insani......