Rabu, 17 Disember 2008

Pertandingan Kebudayaan dan Kesenian PDK 08

Lega. Itulah yang boleh dikatakan oleh kami semua warga PDK jajahan Machang. Ini kerana pertandingan telah selesai dan debaran kembali reda. Paling menggembirakan, taruhan utama kami PDK-PDK Jajahan Machang iaitu dramatari Ulit Mayang Versi PDK mendapat tempat pertama dalam kategori Kreativiti Bebas Berkumpulan. Mengalahkan 8 kumpulan lain. Kami juga berbangga dengan kejayaan kategori solo 'miming' Zainuddin Hamid yang berjaya mendapat tempat kedua. Walau bagaimanapun, taruhan kami terhadap peserta solo kategori Nyanyian Solo oleh Ahmad Farizal tidak kecapaian apabila beliau gagal dalam pertandingan itu. Namun begitu kejayaan Ulit Mayang dan kreativiti solo cukup mengubati segala kekecewaan. Sungguh terharu dan bangga saat pengacara mengumumkan kejayaan PDK-PDK Jajahan Machang dalam kategori Kreativiti Bebas Berkumpulan. Hampir semua Petugas PDK dan peserta menitiskan air mata kerana terlalu gembira. Tambahan pula pengumuman dibuat di hadapan Pengarah JKM Negeri Kelantan En. Md Noor Chik yang hadir mewakili Dato' Meme (Ketua Pengarah JKM Malaysia)untuk menyampaikan hadiah. Pemenang mendapat hadiah wang tunai, sijil dan cenderahati. Nampaknya hasil penat lelah dan daya usaha semua Petugas PDK dengan sokongan PKMJ serta Penyelaras PDK Jajahan Machang, akhirnya membuahkan hasil. Kesempatan ini diambil untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam program ini. Berbaloi sungguh....!! Implikasi program ini....kami semua warga PDK-PDK jajahan Machang dah jadi macam adik-beradik kerana program ini. Ini berikutan kami tinggal bersama di sebuah rumah tamu di Jalan Bayam berhampiran Bengkel OKU yang kami sewa khas untuk penginapan semasa program berlangsung dua hari. Susah senang pakat galas... Dan sebagai hadiah istimewa di atas kejayaan ini, semua peserta dan petugas yang terlibat akan di bawa bercuti sambil melawat Pulau Lagenda -Langkawi.... Tunggu!! Sementara itu, saksikan beberapa keping foto semasa program tersebut.... Demikian kisahnya... [][][][]

Selasa, 9 Disember 2008

Sekitar Latihan Kebudayaan & Kesenian 08.

Latihan akhir program kebudayaan PDK semakin kerap diadakan untuk menjadikan persembahan lebih mantap dan bermutu. Memang sukar untuk melatih anak-anak istimewa tetapi itu bukan menjadi masalah besar kepada Petugas-petugas PDK Jajahan Machang. Di bawah perancangan Ketua Urusetia Persembahan (En. Mohd Razali MD Din) dan Ketua Latihan (Pn. Zuriati Ruhaida)latihan dijalankan dengan jayanya walaupun berdepan dengan musim banjir sekarang ini.



Isnin, 24 November 2008

LAPORAN TERBARU PROSES PEMULIHAN PDK

Terkini PDK INSANI mempunyai jumlah pelajar yang berdaftar seramai 30 orang. Lelaki seramai 18 orang dan perempuan 12 orang. Kesemua pelajar datang daripada kampung berdekatan. 9 orang dari Kampung Raja, 8 orang dari Kg. Berangan Mek Nab, 3 orang dari Kg. Pek, 2 orang dari Kg. Kemuchup, 2 orang dari Kg. Pisang, 2 orang dari Kg. Gosong dan masing-masing seorang dari Kg. Baru Murni, Banggul Kulim, Bunut dan Kg. Telekong.

Jumlah pelajar yang hadir seramai 23 orang. Selebihnya Petugas PDK buat lawatan ke rumah pada setiap hari Khamis.

Mereka yang tidak dapat hadir ke PDK adalah kerana beberapa sebab. Antaranya kerana masalah kacacatan yang teruk, jarak yang jauh dan sukar dikawal. Oleh yang demikian PDK hanya memulihkan mereka menerusi lawatan ke rumah.

Pelajar di PDK INSANI terdiri dari pelbagai umur. Yang paling muda berumur 5 tahun dan yang paling tua berumur 32 tahun. Pelajar-pelajar ini diterima masuk setelah dipastikan selamat dan tidak mendatangkan masalah serta boleh dikawal.


SISTEM PEMBELAJARAN PDK INSANI.

Bagi memenuhi sesi pembelajaran di PDK INSANI, 3 kaedah pembelajaran telah dilaksanakan iaitu Akademik, Kemahiran Hidup dan Pengurusan diri.
Dari segi akademik, ianya meliputi pengenalan huruf, nombor, nilai mata wang, mewarna, menulis dan membaca. Akademik lebih diutamakan kepada mereka yang mempunyai tahap kecacatan akal yang kurang atau yang tidak mempunyai masalah kecacatan akal.

Kemahiran hidup. Kaedah ini meliputi latihan menyusun benda, bermain karom, alat muzik, menggunting, melipat kain, menyanyi, berlakun dan sebagainya. Kemahiran hidup juga ditumpukan ketika di dapur iaitu sebelum waktu makan, Pembantu tukang masak dengan diselia oleh Petugas PDK, akan memilih beberapa orang pelajar yang agak cerdik diajar menyiang sayur, mengupas bawang, menyiang ikan bilis, menyusun, mengemas, membasuh pinggan mangkuk dan sebagainya. Ini adalah permulaan sebelum kita mengajar mereka menggoreng, merebus dan sebagainya. Sementara pelajar yang tidak terlibat di dapur diawasi Petugas PDK lain dengan aktiviti bersesuaian.
Pada setiap hari Rabu pula, selepas makan, semua pelajar dan Pekerja PDK akan turun ke halaman bagi menjalankan aktiviti luar kelas seperti merumput, mengutip sampah, menanam sayur, memberi makanan untuk ikan hiasan dalam kolam dan sebagainya. Sejak awal tahun 2008 PDK Insani telah mula mengajar membuat kraftangan mudah seperti bekas pensil, alas meja, keychain dan sebagainya.

Pengurusan Diri.
Salah satu Pengurusan diri yang ditekankan ialah ‘ toilet tranning’. Ini adalah memastikan pelajar-pelajar tahu bila dan cara-cara menggunakan tandas.
Pelajar PDK juga dilatih cara duduk, berpakaian, menghias diri, melayan tetamu, menghormati orang tua, kawan-kawan dan sebagainya.
Mereka juga diajar memahami perkara yang boleh dan perkara yang tidak boleh.


PENCAPAIAN PDK INSANI SETAKAT INI.

- Setakat ini terdapat beberapa perubahan positif pelajar yang mengikuti pemulihan di sini.
- Salah seorangnya, pelajar yang cacat anggota dan lembab pembelajaran telah dapat membaca perkataan mudah dua suku kata. Pelajar ini juga berkebolehan mewarna. Kita juga telah mula mengajarnya bermain muzik.
- Sesetengah pelajar pada awal menyertai pemulihan PDK langsung tidak boleh mewarna tetapi hari ini mereka boleh mewarna dengan lebih baik.
- Lain-lain pelajar juga telah banyak perubahan. Mana-mana yang dulu tidak dapat memahami arahan, sekarang telah faham dan boleh melakukan apa yang disuruh oleh Petugas PDK.
- Begitu juga masalah buang air merata-rata, sekarang mereka ini sudah boleh memberitahu bila hendak membuang air.
- Beberapa orang ibu bapa juga ada menyatakan tentang perubahan memberangsangkan tentang anak mereka sejak belajar di PDK.
- Yang terbaru dua orang pelajar telah dapat bekerja iaitu seorang bekerja di PDK Insani sebagai Pembantu Tukang masak dan seorang lagi menjalankan perniagaan di rumahnya. Bekas dua pelajar ini sedang memohon EPC (Elaun Pekerja Cacat) untuk dipertimbangkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.


HARAPAN DAN SYOR.

- PDK perlu memperbanyakkan aktiviti luar sekolah seperti lawatan sambil belajar, perkelahan, lawatan ke tempat-tempat awam seperti ke pasar raya, ke taman bunga dan sebagainya bagi mendedahkan pelajar kepada pengetahuan baru serta membiasakan diri dengan orang ramai.
- Kita juga berharap ibu bapa sama-sama membantu memulihkan anak mereka dengan memberi kerjasama apabila diperlukan. Misalnya membenarkan anak ikut serta dalam program yang dijalankan atau ibu bapa sendiri turut serta.
- Kita juga minta Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Jawatankuasa mengadakan satu kursus khas berkenaan dengan kraftangan yang boleh mendatangkan hasil kepada Pekerja PDK supaya dapat diajar kepada pelajar PDK.


Itulah sahaja. Sekian. Terima kasih.

Ahad, 16 November 2008

Program Kebudayaan 08



















PDK Insani mengadakan satu program kebudayaan untuk dipertandingkan di peringkat negeri pada 16.12.08 di KB Mall. Program ini dijalankan secara bergabung dengan semua PDK Jajahan Machang.

Acara kebudayaan yang akan dipertandingkan ialah acara individu dan acara berkumpulan. Acara individu dan kumpulan terbahagi kepada dua kategori iaitu persembahan bersuara dan tanpa suara. Setiap daerah akan menghantar tiga persembahan untuk dipertandingkan.

Bagi Jajahan Machang, PDK-PDK bersetuju untuk mengadakan persembahan tanpa suara iaitu taridrama Ulit Mayang versi PDK. Manakala bagi acara individu ialah persembahan nyanyian dan 'miming'.

Latihan bermula 16.11.08 secara bergilir tempat bermula di PDK Bandar Machang, PDK Pulai Chondong, PDK Temangan dan PDK Insani. Semua Pengerusi dan Petugas PDK serta Penyelaras PDK - Pn. Ratna Mahsuri terlibat menjayakan latihan yang diadakan setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu.

PDK Insani menghantar 2 orang pelajar untuk menyertai program ini.

Rabu, 5 November 2008

MAJLIS HARI RAYA PDK-PDK MACE 08





MAAF ZAHIR BATIN UNTUK SEMUA DAN INSYA ALLAH PANJANG UMUR JUMPA LAGI TAHUN DEPAN.........................................!