Isnin, 24 November 2008

LAPORAN TERBARU PROSES PEMULIHAN PDK

Terkini PDK INSANI mempunyai jumlah pelajar yang berdaftar seramai 30 orang. Lelaki seramai 18 orang dan perempuan 12 orang. Kesemua pelajar datang daripada kampung berdekatan. 9 orang dari Kampung Raja, 8 orang dari Kg. Berangan Mek Nab, 3 orang dari Kg. Pek, 2 orang dari Kg. Kemuchup, 2 orang dari Kg. Pisang, 2 orang dari Kg. Gosong dan masing-masing seorang dari Kg. Baru Murni, Banggul Kulim, Bunut dan Kg. Telekong.

Jumlah pelajar yang hadir seramai 23 orang. Selebihnya Petugas PDK buat lawatan ke rumah pada setiap hari Khamis.

Mereka yang tidak dapat hadir ke PDK adalah kerana beberapa sebab. Antaranya kerana masalah kacacatan yang teruk, jarak yang jauh dan sukar dikawal. Oleh yang demikian PDK hanya memulihkan mereka menerusi lawatan ke rumah.

Pelajar di PDK INSANI terdiri dari pelbagai umur. Yang paling muda berumur 5 tahun dan yang paling tua berumur 32 tahun. Pelajar-pelajar ini diterima masuk setelah dipastikan selamat dan tidak mendatangkan masalah serta boleh dikawal.


SISTEM PEMBELAJARAN PDK INSANI.

Bagi memenuhi sesi pembelajaran di PDK INSANI, 3 kaedah pembelajaran telah dilaksanakan iaitu Akademik, Kemahiran Hidup dan Pengurusan diri.
Dari segi akademik, ianya meliputi pengenalan huruf, nombor, nilai mata wang, mewarna, menulis dan membaca. Akademik lebih diutamakan kepada mereka yang mempunyai tahap kecacatan akal yang kurang atau yang tidak mempunyai masalah kecacatan akal.

Kemahiran hidup. Kaedah ini meliputi latihan menyusun benda, bermain karom, alat muzik, menggunting, melipat kain, menyanyi, berlakun dan sebagainya. Kemahiran hidup juga ditumpukan ketika di dapur iaitu sebelum waktu makan, Pembantu tukang masak dengan diselia oleh Petugas PDK, akan memilih beberapa orang pelajar yang agak cerdik diajar menyiang sayur, mengupas bawang, menyiang ikan bilis, menyusun, mengemas, membasuh pinggan mangkuk dan sebagainya. Ini adalah permulaan sebelum kita mengajar mereka menggoreng, merebus dan sebagainya. Sementara pelajar yang tidak terlibat di dapur diawasi Petugas PDK lain dengan aktiviti bersesuaian.
Pada setiap hari Rabu pula, selepas makan, semua pelajar dan Pekerja PDK akan turun ke halaman bagi menjalankan aktiviti luar kelas seperti merumput, mengutip sampah, menanam sayur, memberi makanan untuk ikan hiasan dalam kolam dan sebagainya. Sejak awal tahun 2008 PDK Insani telah mula mengajar membuat kraftangan mudah seperti bekas pensil, alas meja, keychain dan sebagainya.

Pengurusan Diri.
Salah satu Pengurusan diri yang ditekankan ialah ‘ toilet tranning’. Ini adalah memastikan pelajar-pelajar tahu bila dan cara-cara menggunakan tandas.
Pelajar PDK juga dilatih cara duduk, berpakaian, menghias diri, melayan tetamu, menghormati orang tua, kawan-kawan dan sebagainya.
Mereka juga diajar memahami perkara yang boleh dan perkara yang tidak boleh.


PENCAPAIAN PDK INSANI SETAKAT INI.

- Setakat ini terdapat beberapa perubahan positif pelajar yang mengikuti pemulihan di sini.
- Salah seorangnya, pelajar yang cacat anggota dan lembab pembelajaran telah dapat membaca perkataan mudah dua suku kata. Pelajar ini juga berkebolehan mewarna. Kita juga telah mula mengajarnya bermain muzik.
- Sesetengah pelajar pada awal menyertai pemulihan PDK langsung tidak boleh mewarna tetapi hari ini mereka boleh mewarna dengan lebih baik.
- Lain-lain pelajar juga telah banyak perubahan. Mana-mana yang dulu tidak dapat memahami arahan, sekarang telah faham dan boleh melakukan apa yang disuruh oleh Petugas PDK.
- Begitu juga masalah buang air merata-rata, sekarang mereka ini sudah boleh memberitahu bila hendak membuang air.
- Beberapa orang ibu bapa juga ada menyatakan tentang perubahan memberangsangkan tentang anak mereka sejak belajar di PDK.
- Yang terbaru dua orang pelajar telah dapat bekerja iaitu seorang bekerja di PDK Insani sebagai Pembantu Tukang masak dan seorang lagi menjalankan perniagaan di rumahnya. Bekas dua pelajar ini sedang memohon EPC (Elaun Pekerja Cacat) untuk dipertimbangkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.


HARAPAN DAN SYOR.

- PDK perlu memperbanyakkan aktiviti luar sekolah seperti lawatan sambil belajar, perkelahan, lawatan ke tempat-tempat awam seperti ke pasar raya, ke taman bunga dan sebagainya bagi mendedahkan pelajar kepada pengetahuan baru serta membiasakan diri dengan orang ramai.
- Kita juga berharap ibu bapa sama-sama membantu memulihkan anak mereka dengan memberi kerjasama apabila diperlukan. Misalnya membenarkan anak ikut serta dalam program yang dijalankan atau ibu bapa sendiri turut serta.
- Kita juga minta Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Jawatankuasa mengadakan satu kursus khas berkenaan dengan kraftangan yang boleh mendatangkan hasil kepada Pekerja PDK supaya dapat diajar kepada pelajar PDK.


Itulah sahaja. Sekian. Terima kasih.

Tiada ulasan: