Selasa, 10 Mei 2011

Kem Bina Jati Diri & Explorace PDK Kelantan

Program yang berbentuk aktiviti lasak yang menyeronokkan ini telah menggabungkan tiga konsep utama iaitu, Aktiviti, Kerohanian, Keseronokan dan Pemulihan (AKP) bagi memberi impak yang mengesankan. Untuk julung kali program seumpama ini diadakan bagi memberi satu inovasi secara langsung dalam program melibatkan pelatih PDK dan sebagai cabaran kepada Petugasnya. Untuk kali pertama juga, kita lupakan seketika bahawa pelatih PDK adalah individu OKU.

i) Tujuan program ini untuk menyuburkan sikap berdikari yang sedia ada dalam diri pelatih menjadi lebih berkembang dan ikhtiar hidup.

ii) Memberi peluang kepada pelatih mengembangkan bakat dan kreativiti semulajadi atau yang digilap semasa di PDK secara lebih terserlah.

iii) Membentuk diri pelatih supaya lebih berketrampilan dan berkeyakinan.

iv) Menjadikan pelatih lebih berdikari, berani dan berupaya menempuh segala cabaran.

v) Mewujudkan semangat berkumpulan, kerjasama dan bantu membantu.

vi) Membebaskan pelatih dari sebarang kongkongan atau idea orang lain.

Program ini adalah anjuran Bahagian Pembangunan OKU Negeri Kelantan mendapat kerjasama yang penuh dari Persatuan Insani di mana Setiausaha Persatuan Insani iaitu Mohd Razali Md Din adalah Pengerusi PDK Insani. Beliau dan Pengerusi Persatuan Insani (Wan Kamarulzaman) antara nadi penggerak program ini di samping urusetia dari JKM sendiri terutama Pn. Hjh Nora'sikin, En. Abdul Rahim, Mohd Nasrun, Zuraida, Misbah dan lain-lainnya.

Program ini berlangsung dua hari iaitu bermula jam 8 pagi 8hb hingga 5 petang 9hb Mei 2011. Program ini diakhiri dengan Majlis Perasmian Penutup bersama Majlis Penyampaian Bantuan JKM peringkat Jajahan Tumpat yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kelaboran.






Secara ringkasnya Kem Bina Jati Diri dan Explorace ini dijalankan dengan memilih setiap PDK menghantar dua pelatih iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan serta seorang penyelia atau petugas. Jumlah pelatih seramai 66 orang dan petugas 33 orang. 11 orang petugas menjadi urusetia dan 22 orang bersama 66 orang pelatih menjadi peserta dan dibahagi kepada 11 kumpulan secara undian. Kumpulan-kumpulan ini mendirikan khemah masing-masing dan menjalankan aktiviti mengikut jadual yang ditetapkan.

Program ini dijalankan secara pertandingan untuk memberi konsep persaingan dan cabaran kepada mereka. Ternyata program ini amat menyeronokkan dan memberi kesan yang mendalam kepada pelatih mahupun petugas sendiri. Antara pengisian ialah, penyediaan makanan secara memasak menggunakan kayu api, pembinaan jati diri menerusi program berinteraksi dengan pelatih, membiarkan pelatih membuat keputusan, explorace dan diselitkan juga acara sukaneka dan persembahan spontan pelatih dan petugas menerusi acara cabutan tak bertuah.

Siapa menang tidak penting kerana yang lebih penting program ini dapat menanam dan membina jati diri kepada pelatih dan petugas serta menyemarakkan lagi sikap berdikari kepada pelatih PDK. Seperkara lagi yang tidak kurang pentingnya, kem ini dapat menyatukan semua PDK-PDK di Kelantan dalam satu program peringkat negeri.

Tiada ulasan: