Sabtu, 28 Ogos 2010

Lawatan Noriko Hayakawa



Pada 26 Ogos 2010 yang lalu, PDK Insani menerima kunjungan istimewa dari Setiausaha Ketiga Kedutaan Jepun yang singgah dalam perjalanannya melawat tapak projek :Group Home: Persatuan insan Istimewa kelantan (INSANI). Beliau ditemani pembantunya cik Roslaile Abd Hamed dan diiringi oleh Pengerusi Persatuan Insani, En. Wan Kamarulzaman Wan Mohd Nor.

Beliau sempat beramah mesra dengan Petugas-petugas PDK sebelum pulang ke penginapannya di sebuah hotel di Kota Bharu.

Beliau dibawa melawat ke Projek Ikan Keli dan melihat kraftangan yang dihasilkan oleh PDK Insani.

Sebelum pulang beliau menandatangani buku pelawat PDK Insani. Kedatangan beliau satu penghormatan kepada PDK Insani.

Khamis, 19 Ogos 2010

MAJLIS BERBUKA PUASA

Sempena bulan Ramadan Al-Mubarak, PDK Insani telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa bagi memberi peluang kepada pelatih-pelatih PDK yang berupaya berpuasa merasai nikmat berbuka bersama Jawatankuasa, Petugas dan penduduk setempat. Kumpulan pelajar kolej Masterskil yang mengadakan praktikal di sini juga dijemput menghayati majlis ini.

Majlis turut dihadiri oleh Pn Ratna Mahsuri Mohd Nor, Pen. Pegawai JKM Machang yang mewakili Pegawai JKM Machang, Ybrs. Tuan Noor Rosniza Tuan Puteh.

Sempena majlis ini juga, satu acara Penyampaian Sijil Pengesahan Praktikal kepada penuntut Kolej Masterskil diadakan yang disempurnakan oleh Pn. Ratna Mahsuri. Pn. Ratna Mahsuri kemudiannya menyampaikan sumbangan Hadiah Berpuasa kepada pelatih PDK yang berpuasa bagi menghargai kesungguhan mereka menjalani ibadat tersebut. Setengah jam sebelum berbuka, majlis tahlil diadakan bersama-sama penduduk setempat.

Program seumpama ini bertujuan mendedahkan pelatih PDK dengan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan yang jarang-jarang disertai oleh OKU. Secara tidak langsung program ini membuatkan OKU merasakan diri mereka seperti insan normal yang lain dan tidak tersisih dalam kehidupan bermasyarakat.

Menu masakan dan persiapan serta kos berbuka puasa disediakan sendiri oleh Jawatankuasa dan Petugas-petugas PDK serta dibantu oleh penuntut Kolej Masterskil secara bergotong royong di PDK.

Catatan:

Menu masakan: Stew Daging/tulang, Ayam Masak Merah, Ikan Keli Goreng Halia, Darca, Solok Lada, Kerabu Buah Pauh dan ulam-ulaman.





. .


Khamis, 12 Ogos 2010

Majlis Perpisahan - Masterskil ke 3

Baru-baru ini (10.8.2010) PDK Insani diraikan dengan Majlis Perpisahan oleh Pelajar Kolej Masterskil kumpulan ketiga yang membuat Latihan praktikal fisioterapi di sini. Majlis secara kecil-kecilan itu dibuat bagi menandakan terima kasih dan penghargaan terhadap penerimaan mereka mengikuti praktikal di sini.

Pengerusi PDK Insani En. Mohd Razali Md Din turut hadir bagi bersama pelatih-pelatih dan petugas serta pelajar Masterskil meraikan masjli tersebut.

Kumpulan seramai 10 orang dan seorang CC (Ketua) itu telah berada di PDK Insani sebulan yang lalu. Mereka mengikuti latihan di PDK dan juga lawatan ke rumah. Kumpulan keempat akan datang mengikuti praktikal yang sama minggu depan juga selama sebulan.

Majlis hari ini dipenuhi dengan ramah mesra, makan dan acara bergambar.











Isnin, 9 Ogos 2010

Perkelahan Bersama Pelatih Masterskil

Pada 7hb. Ogos 2010, Ahad, 20 orang Pelatih PDK Insani dan petugas seramai 5 orang telah mengadakan perkelahan di Hutan Lipur Bukit Bakar, Machang, Kelantan. Program ini turut disertai Pelatih Kolej Masterskil seramai 11 orang. Pelatih Kolej Masterskil ini sedang mengadakan latihan praktikal fisioterapi di PDK Insani selama sebulan.

Program perkelahan ini diselitkan dengan acara sukaneka anjuran Pelatih-pelatih Masterskil . Sementara acara sukaneka berlangsung, aktiviti bakar ikan keli dan ayam diadakan di tepi anak sungai berdekatan.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk membiasakan pelatih dengan tempat awam. Selain itu, program ini juga bertujuan membina semangat gotong royong di kalangan pelatih PDK. Kebosanan di PDK setiap hari juga antara tujuan program ini diadakan bagi menghilangkan perasaan itu. Kehadiran mereka tanpa ditemani penjaga/ibubapa membolehkan pelatih PDK mengikuti program pemulihan secara tidak langsung.

Sepanjang program berlangsung, semua wajah pelatih PDK menunjukkan reaksi yang sangat gembira dan seronok berada di situ.











Ahad, 8 Ogos 2010

Menghadiri Karnival YOKUK ke 11


Sebagai memenuhi jemputan, pada 6hb. Ogos 2010 - Sabtu, PDK Insani tidak ketinggalan menyertai Karnival Yokuk (Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan) kali ke 11 di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa. Program berupa pesta pasaria dan pertandingan itu bermula 9 pagi dan berakhir 5 petang. Antara pertandingan yang diadakan ialah Tarian Moden, tarian Tradisional, Pertandingan Memasak dan Sukaneka. Peserta terdiri dari pelatih PDK dan Pendidikan Khas.

Pelatih PDK Insani turut menyertai pertandingan tarian moden dan hanya mendapat tempat ketiga.

Selepas keputusan diumumkan pada jam 2 petang, PDK Insani bertolak pulang melalui Tok Bali dan singgah di situ untuk makan tengahari sambil besantai.

Ahad, 1 Ogos 2010

Talentime PDK Piala Perdana Menteri


Selesailah sudah program talentime PDK Piala Perdana Menteri Peringkat Negeri Kelantan. Pertandingan antara juara-juara zon menyaksikan PDK Insani (Tarian Perpaduan Malaysia) hanya mendapat tempat kedua (Naib Johan) dalam kategori Kumpulan sekali gus menghilangkan peluang ke peringkat Kebangsaan di Kuala lumpur Disember ini. Johan pertandingan peringkat kumpulan ialah PDK Che Pa dari Kota Bharu dengan tajuk tariannya Tarian satu Malaysia.
Dalam Kategori solo, Johan disandang juga dari PDK Chepa dan Pelatih PDK Bandar Machang mendapat tempat kedua (Nik Aimi Azlin)

Kategori Duet dimenangi oleh PDK Jajahan Pasir Puteh.

Hadiah pemenang disampaikan oleh Datin Kamarzan, Pengerusi Penawar. Program Talentime PDK Peringkat Negeri Kelantan dirasmikan oleh Datuk Seri Mustapha Mohamad. Turut hadir Pengarah JKM Negeri Kelantan, Yabrs. En. Md Noor bin Chik.
Johan pertandingan ini kecuali duet akan berentap di Kuala Lumpur pada Disember ini. Semoga berjaya.