Sabtu, 22 Ogos 2009

PENYERAGAMAN PENGURUSAN DUA PDK

Penyeragaman pengurusan dan petadbiran PDK yang dibincangkan pada hari ini ialah peraturan-peraturan yang tidak terdapat dalam buku pengurusan yang dikeluarkan oleh JKM. Tujuan penyelarasan ini adalah untuk menyeragamkan peraturan dua PDK iaitu PDK Insani dan PDK Temangan supaya tidak timbul sebarang perbezaan pentadbiran. Kerjasama ini sangat menguntungkan kedua pihak.

Peraturan-peraturan ini sangat penting untuk memberi satu garis panduan yang berkesan untuk menambahbaikkan PDK dalam mengendalikan program pemulihan pelatih-pelatih istimewa.

Garis panduan yang dikeluarkan oleh JKM adalah dasar utama yang perlu diikuti. Walau bagaimanapun, ada beberapa sudut perlukan penambahbaikkan terutama dalam aspek pengurusan dan pentadbiran serta petugas-petugas PDK. Tambahan ini bukan bermakna garis panduan yang dikeluarkan oleh JKM tidak cukup sesuai. Sebenarnya, kalau kita tidak menambah apa-apa dalam garis panduan ini, kita masih boleh bergerak dengan selesa untuk menjalankan aktiviti PDK. Penambahan garis panduan ini ibarat rempah tambahan atau kalau dalam hidangan ianya adalah hiasan.

Turut hadir ialah Pegawai JKM Machang (YM Tuan Noor Rosniza Tuan Puteh) dan Penyelaras PDK Machang (Pn. Ratna Mahsuri Mohd Nor). Dalam ucapan PKMJ, beliau memuji usaha ini sebagai memantapkan pentadbiran PDK.

Sempena dengan program ini diadakan juga penyampaian surat perlantikan Ahli Jawatankuasa dua PDK dan penyampaian cenderahati penghargaan kepada Mantan Pengerusi PDK Temangan iaitu En. Abdullah Yaacob.

Semua yang hadir kemudiannya menikmati hidangan nasi lemak berlaukkan puyuh.






Jumaat, 21 Ogos 2009

Lawatan JICA

Pada 19 Ogos 2009 yang lalu, PDK Insani menerima tetamu istimewa dari JICA iaitu cik Shikata. Beliau diiringi oleh Yoshie, Yumi dan Michie (Sukarelawan Jepun di Kelantan) dan yang paling istimewa juga kehadiran bersama Pn. Hjh Norashikin (Penyelaras PDK Negeri Kelantan) dan Cik Nurul. Turut hadir ialah Pengerusi PDK Insani, Penyelaras PDK Jajahan Machang )Pn. Ratna MAhsuri) dan Cik Siti Alwani.

Kehadiran Cik Shikata dan Penyelaras PDK Negeri adalah untuk melawat PDK Insani. Ini satu penghargaan kepada PDK Insani yang berada di dalam jajahan Machang telah dipilih untuk dilawati oleh wakil JICA.

Sepanjang lawatan, mereka melihat aktiviti di PDK seperti kraftangan oleh pelatih, melukis, menulis, projek ikan keli dan melihat pelatih yang dilatih untuk bekerja serta pelatih yang telah bekerja.

Mereka berada sejam setengah di PDK Insani sebelum bertolak ke PDK Gual Ipoh.












Rabu, 19 Ogos 2009

Rombongan Ke YOKUK

Program rombongan ke YOKUK (Yayasan Orang Kurang Upaya) telah diadakan pada 15 Ogos 2009 yang menggabung 2 PDK iaitu PDK Insani dan PDK Temangan. Seramai 44 orang telah menyertai rombongan ini termasuk Penyelia dan Petugas kedua PDK. 3 orang wakil AJK setiap PDK juga turut serta. Peserta rombongan dibawa dengan menggunakan sebuah bas yang disewa khas untuk tujuan tersebut.

Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan yang lebih luas kepada pelatih PDK dengan dunia kemasyarakatan. Pendedahan seumpama ini akan memberi sedikit sebanyak perkembangan minda. Lawatan ke YOKUK dipilih kerana pada tarikh tersebut, YOKUK telah mengadakan karnival ulangtahun ke 10.

Pelatih-pelatih juga dibawa membeli belah di dalam perayaan itu yang mana banyak gerai menjual pelbagai barangan terutama makanan. Pelatih diberi peluang memilih sendiri makanan kegemarannya.

Selepas tiga jam berada di YOKUK, pelatih dibawa ke Pantai Irama untuk bersantai dan menikmati minum petang di situ sambil menghirup udara laut yang nyaman.

Semua pelatih selamat sampai di PDK masing-masing dalam lingkungan jam 6 petang. PDK Insani merakamkan ucapan terima kasih di atas kerjasama baik yang diberikan oleh Jawatankuasa PDK Temangan terutama Pegerusinya, En. Zulkifli Rani.
















Khamis, 13 Ogos 2009

Kursus Pemantapan Tanggungjawab

Pada 11 Ogos 2009 yang lalu, PDK-PDK jajahan Machang telah sepakat mengadakan satu seminar yang dinamakan Pemantapan Tanggungjawab Penyelia dan Petugas PDK Jajahan Machang. Seramai 19 orang petugas dari 4 buah PDK dan seorang wakil AJK hadir ke seminar tersebut.

Seminar ini diadakan di Dewan Latihan Pengurusan Perhutanan, Hutan Lipur Bukit Bakar, Machang, Kelantan. Ketua program ialah En. Wan Idris Wan Jusoh (Pengerusi PDK Pulai Chondong).

Mini seminar ini dikendalikan oleh Mohd Razali Md Din (Pengerusi PDK Insani), Pn. Ratna Mahsuri Mohd Noor (Penyelaras PDK Machang) dan En. Rashidi Awang (Penyelaras PDK Tanah Merah) serta ucapan perasmian oleh PKMJ Machang (Cik Tuan Noor Rosniza Tuan Puteh).

Tujuan Seminar adalah untuk memberi maklumat terkini berkenaan tanggungjawab Penyelia dan Petugas. Seminar ini juga adalah untuk memberi penambahbaikan kepada Penyelia dan Petugas PDK dalam menjalankan tanggungjawabnya. Walau bagaimanapun, tujuan utama adalah untuk pembangunan OKU dan memantapkan tugas Penyelia dan Petugas PDK.
















Foto-foto pada hari tersebut......