Sempena menyambut Hari Raya Aidiladha, warga PDK Insani, Kg. Raja, Machang telah mengadakan program membuat dan memasak ketupat. Program ini diadakan di PDK Insani pada 16hb.November 2010 yang lalu. Semua Petugas bersama-sama pelatih PDK bergotong royong menyediakan juadah tradisional yang sangat popular dimakan pada setiap pagi raya.
Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan yang lebih berkesan kepada pelatih bagi merasai sendiri bagaimana ketupat dibuat dan seterusnya dimasak untuk dijadikan salah hidangan di hari raya. Selain itu, program ini dapat memupuk semangat kerjasama di kalangan petugas, pelatih PDK dan AJK PDK Insani. Turut serta dalam program ini ialah pelajar Masterskil yang sedang membuat Praktikal Fisioterapi di sini.
Walaupun proses membuat ketupat memakan masa dan memenatkan tetapi ianya tidak menjadi halangan kerana konsep gotong royong yang diamalkan dan berbaloi apabila semua ketupat yang disiapkan menepati keenakan sebenar ketupat. Ketupat-ketupat yang sudah dimasak kemudiannya dibahagikan kepada semua yang hadir.
(* Proses membuat ketupat bermula dengan penyediaan daun palas. Pulut yang telah direndam semalaman dikukus sehingga 3/4 masak. Selepas disiram dengan santan, pulut dikacau (diarun) sehingga sebati. Selepas itu pulut dibungkus dengan daun palas dalam bentuk segi tiga. Kemudian, ketupat yang sudah dibungkus direbus sekurang-kurangnya satu jam.)